Anda di sini

Malaysia dan AS jalin Perkongsian Komprehensif

Advertisement

SEMPENA PELANCARAN: Najib dan Obama bergambar bersama peserta-peserta program ‘Code for Malaysia’ sempena pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya, semalam. — Gambar Bernama

Lebih banyak kerjasama dalam ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi akan diadakan

PUTRAJAYA: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif, kataPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah ini, katanya menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara, akan menyaksikan lebih banyak kerjasama dalam ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan bidang-bidang lain.

“Kami juga memutuskan untuk meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai-Pegawai Kanan sebagai forum utama bagi perbincangan peringkat tinggi. Semua persetujuan bersama ini akan menjadi asas kukuh bagi lebih banyak kerjasama pada masa akan datang,” katanya.

Najib berkata demikian dalam sidang akhbar bersama-sama Presiden AS Barack Obama selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan pada Ahad.

Obama kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, julung kali oleh presiden Amerika Syarikat dalam tempoh hampir 50 tahun.

Najib berkata Malaysia, sebuah negara Islam yang moden dan progresif dengan penduduk berbilang kaum dan agama, sejak sekian lama sedar akan faedah daripada kerjasama merentas sempadan dan kuasa perkongsian kemakmuran.

“Kehadiran Tuan Presiden di sini menandakan bermulanya perkongsian kita memasuki tahap baharu – dengan persahabatan dipererat dan perkongsian lebihkomprehensif,” katanya dan menurutnya ia membuka ruang bagi fasa baharu hubungan Malaysia-AS, yang perlu berasaskan kerjasama lebih jitu untuk menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Najib berkata Malaysia menyambut baik langkah Amerika Syarikat untuk membaiki keseimbangan terhadap Asia, dan sumbangannya terhadap keamanan,kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

“Benua-benua kita berkongsi lautan, kita juga patut dihubungkan oleh dasar yang sama. Kami percaya semua pihak patut berkongsi kisah pertumbuhan cemerlang Asia, dengan syarat mereka juga berkongsi komitmen terhadap keamanan yang ia bergantung,” katanya.

Pemimpin Malaysia itu turut menyentuh tentang Malaysia yang akan mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN tahun depan dan usahanya untuk menduduki  satu daripada kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Dalam pada kami bersedia untuk semua ini…kami mahukan peranan lebih besar dalam menggalakkan keamanan global dan kestabilan serantau. Dalam usaha ini dan banyak lagi, persahabatan kami dengan Amerika Syarikat amat dihargai,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata beliau menghargai sokongan padu AS kepada ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur, dan atas keyakinan terhadap Malaysia apabila menjadi pengerusi ASEAN pada 2015.

Beliau turut menyentuh peranan Kuala Lumpur dalam membantu menjayakan pemeteraian perjanjian damai di selatan Filipina, menamatkan konflik yang telah meragut nyawa 150,000 orang dan menghalang Al-Qaeda dan sekutunya daripada kemungkinan bertapak di rantau ini.

“Kami menolak ekstremisme agama, dengan menubuhkan Pergerakan Kesederhanaan Global,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau dan Obama juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam latihan misi pengaman.

Berhubung Laut China Selatan, Najib berkata beliau dan Obama turut menekankan akan pentingnya mendukung prinsip undang-undang antarabangsa yangdiiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Undang-Undang Laut.

“Kami juga bersetuju bahawa pelaksanaan sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak adalah amat penting, dan bahawa Tatalaku yang efektif akan meningkatkan kepercayaan bersama,” katanya.

Pada permulaan sidang akhbar itu, Najib turut mengambil peluang menjelaskan  bahawa hubungan Malaysia-AS telah terjalin sejak sekian lama, dengan hubungan diplomatik terjalin pada hari Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sambil merujuk kepada lawatan pertama oleh seorang presiden Amerika ke Malaysia pada 1966, Najib berkata: “Hari ini, Tuan Presiden, tuan tidak nampak pokok getah seperti pernah dilihat oleh Lyndon B. Johnson, tetapi bangunan-bangunan pencakar langit.

“Ini adalah bukti kepada tranformasi yang berlaku di sini di Malaysia. Dalam perjalanan ini, kami berterima kasih kepada persahabatan dihulurkan Amerika Syarikat,” katanya.

Najib berkata pada dekad-dekad selepas kemerdekaan Malaysia, apabila  ketegangan ideologi tercetus di Asia Tenggara, AS dan Malaysia kekal sebagairakan akrab.

Bagi tempoh beberapa tahun lepas, beliau berkata Kuala Lumpur dan Washington berusaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak.

“Hari ini, kita dapat menyaksikan hasil daripada usaha itu. Dalam bidang ekonomi, keselamatan, hubungan rakyat dengan rakyat, kami lebih rapat kini berbanding sebelumnya,” katanya.

Malaysia adalah negara ketiga dilawati Obama dalam siri lawatan ke empat negara di Asia bermula di Jepun dan diikuti Korea Selatan. Presiden AS itudijadual berlepas ke Filipina pada Isnin. — Bernama

Advertisement