Anda di sini

Lebih rela jadi gelandangan

Advertisement

LAPAR DAN KESEJUKAN: Keadaan dua beranak yang tidak diketahui identitinya tidur di Terminal Bas Bintulu sejak enam hari lalu.

BINTULU: Orang ramai yang berurusan di Terminal Perhentian Bas Medan Jaya di sini terkejut dengan kehadiran wanita misteri bersama seorang anak kecil dipercayai anaknya, merayau-rayau dan tidur di terminal bas berkenaan sejak enam hari lepas.

Menurut sumber, wanita dalam lingkungan usia 30-an itu dikatakan selalu berkeliaran di sekitar bandar Bintulu dan tinggal di merata-rata tempat dan yang terbaharu di terminal bas berkenaan.

Difahamkan wanita berkenaan yang merupakan warga tempatan telah bercerai dengan suaminya beberapa tahun lalu dan sejak itu dia dan anaknya tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan sering berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

Ketika ditemui, wanita berkenaan berkata yang dia mempunyai sebuah rumah persendirian berdekatan sebuah rumah panjang di kawasan Tubau, Sebauh.

Bagaimanapun dia tidak mahu balik ke sana kerana rumahnya itu didiami ahli keluarganya yang lain.

“Setelah bercerai dengan suami, saya tidak lagi mempunyai tempat tinggal yang tetap sampai sekarang dan pergi ke mana-mana sahaja mengikut kata hati saya bersamasama anak saya ini,” ujarnya.

Pernah juga beberapa pemandu teksi di terminal bas berkenaan ingin menghulurkan bantuan bagi menghantar wanita itu dan anaknya pulang ke rumah secara percuma, namun wanita itu menolak tawaran yang diberikan dengan alasan dia tidak memerlukan bantuan daripada sesiapa bagi meneruskan hidup.

Paling menyedihkan, dua beranak itu meneruskan hidup dengan bantuan makanan yang diberikan orang awam yang lalu-lalang di situ setiap hari.

Pada waktu malam pula, keduadua mereka tidur di atas lantai terminal bas bersebelahan dengan salah sebuah kaunter jualan tiket bas dengan beralaskan surat khabar dan berselimutkan kain.

Advertisement