Anda di sini

Lawatan ke Masjid Negara tanda Obama minat, kagum Malaysia sebagai negara Islam

Advertisement

MENZIARAHI MAKAM: Obama (tengah) bertakafur ketika menziarahi Makam Pahlawan Masjid Negara di Kuala Lumpur, sempena lawatan ke Malaysia selama tiga hari di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Masjid Negara di sini semalam, menunjukkan minat dan rasa kagum beliau dengan pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan dinamik di rantau Asia Tenggara.

Tokoh agama dan pakar akademik menyambut baik kesudian Obama meluangkan masa melawat ke satu daripada mercu tanda Islam di Malaysia sejak 1965 dan menyifatkan ia sebagai permulaan kepada pemahaman yang lebih baik mengenai ajaran Islam.

Setiausaha Agong Persatuan Ulama Malaysia Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata Malaysia seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin ruang yang ‘dibuka’ menerusi lawatan itu untuk menjadi kuasa pelobi keamanan bagi umat Islam dunia, lebih-lebih lagi dengan peranan aktif Malaysia dalam organisasi Islam.

“Malaysia perlu menonjolkan gerakan wasatiyyah, menjadi pelopor dan membela golongan Muslim dunia yang tertindas menerusi pendekatan wasatiyyah iaitumenerusi dialog dan perbincangan telus dengan kuasa besar dunia seperti AS,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, semalam.

Presiden AS ke-44 itu melawat Masjid Negara yang terletak di Jalan Perdana di sini pagi ini dan kehadiran beliau disambut Imam Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan jawatankuasa masjid.

Beliau yang memakai suit gelap diiringi Syaikh Ismail ke dewan solat dan berhenti seketika di Makam Pahlawan, yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Sementara itu, penceramah bebas Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata lawatan itu merupakan pendekatan positif Obama, yang tiba ke negara ini semalam,untuk mengetahui agama, selain tanda menghargai dan menghormati umat Islam.

“Satu perkara di luar kebiasaan, kerana saya ingat tak ada lagi pemimpin besar dunia yang datang melawat Masjid Negara dan ini satu permulaan yang baik untuk umat Islam di sini,” katanya.

Bekas imam besar Masjid Negara Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz berkata kesudian pemimpin dunia itu ke mercu tanda umat Islam suatu petanda baik, apatah lagi agama Islam sebelum ini disalahertikan dan sering dikaitkan dengan keganasan.

“Diharapkan beliau (Obama) dapat melihat keindahan dan bagaimana Islam adalah satu agama yang mencintai keamanan,” katanya.

Presiden International Movement for a Just World (JUST) Dr Chandra Muzaffar berharap lawatan itu akan membawa perkembangan yang lebih baik kepada Islam dimata dunia.

“Kita juga berharap akan ada tindakan yang baik akan dilaksanakan sejurus selepas lawatan itu dan sebagai orang Islam kita perlu mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja yang mahu mengetahui tentang Islam,” katanya. — Bernama

Advertisement