Anda di sini

Katak kedua terkecil di dunia di Taman Negara Kubah

Advertisement

Microhyla nepenthicola merupakan spesies katak  kedua terkecil di dunia. — File foto daripada Dr Indraniel Das, Unimas

KUCHING: Katak kedua terkecil di dunia terdapat di Taman Negara Kubah, Matang yang merupakan syurga bagi spesies katak dan kodok.

Sebelum ini, katak terkecil di dunia pernah direkodkan di taman negara ini sehingga para saintis menjumpai spesies baharu di tempat lain dengan saiz yang lebih kecil berbanding yang terdapat di taman ini.

Sebagai syurga kepada habitat katak dan kodok maka tidak hairanlah mengapa Taman Negara Kubah dipilih sebagai lokasi bagi acara tahunan Borneo Frog Race untuk kali keenam.

Dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Borneo Frog Race dianjurkan sempena Hari Menyelamatkan Katak Global atau ‘Save the Frogs Day’.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Forestry Corporation (SFC) Datu Ali Yusop, selain daripada keaslian flora dan fauna, Taman Negara Kubah juga menempatkan Pusat Hidupan Liar Matang.

Pusat Hidupan Liar Matang katanya merupakan rumah selamat bagi spesies-spesies terancam yang diselamatkan atau diserahkan secara sukarela oleh orang awam.

“Pusat Hidupan Liar Matang juga merupakan pusat kepada pendidikan dan penyelidikan dan memainkan peranan penting dalam pemuliharaan hidupan liar terancam di Sarawak.

“Ia adalah pusat prinsipal bagi melindungi dan pemulihan haiwan-haiwan ini sebelum dilepaskan semula secara liar.

“Untuk makluman anda, Taman Negara Kubah telah diwartakan pada 1989 dan menempatkan lebih 80 spesies palma sekali gus menjadikannya sebagai Dunia Palma,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Minggu Kubah di taman itu semalam.

Minggu Kubah merupakan sebahagian daripada usaha SFC untuk mempromosikan kesedaran terhadap kekayaan dan kepelbagaian hutan hujan yang wujud di Taman Negara.

Pemilihan Taman Negara Kubah bagi program ini bukan sahaja untuk mempromosikan taman ini sebagai hutan hujan yang kaya berdekatan bandar tetapi juga untuk menyedarkan orang awam bahawa Kubah mempunyai spesies palma terbanyak pada keluasan 2,230 hektar.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Minggu Kubah termasuk ‘Borneo Frog Race’, ‘Vallombrosa Walk’, ‘Kubah Guided Walks’, gotong-royong, pertandingan fotografi dan banyak lagi.

Minggu Kubah adalah anjuran bersama SFC, Kementerian Pelancongan, Lembaga Pelancongan Sarawak, Pejabat Residen Kuching dan UNIMAS.

Turut hadir CEO STB Datuk Rashid Khan, Pengarah Institut Pemuliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti UNIMAS Profesor Dr Andrew Alex Tuen serta Timbalan Pengurus Besar SFC Oswald Braken Tisen.

Advertisement