Anda di sini

Ali: Infrastruktur terbengkalai bukan faktor gagal bawa keluar pelajar sesat

Advertisement

KUCHING: Infrastruktur terbengkalai bukan faktor kepada kegagalan pasukan penyelamat membawa keluar salah seorang daripada sekumpulan pelajar yang sesat di Taman Negara Bako baru-baru ini, dengan selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Forestry Corporation (SFC) Datu Ali Yusop yang menafikan spekulasi tersebut berkata, insiden tersebut berlaku di luar jangkaan dan bukan disebabkan kegagalan pihak pengurusan.

“Sebelum insiden, pihak pengurusan taman ada memaklumkan kumpulan pelajar terbabit sama ada mereka memerlukan khidmat pemandu taman atau tidak.

“Kumpulan terbabit bagaimanapun enggan mendapatkan khidmat pemandu taman dan berkeras mahu menjalankan aktiviti mereka secara berdikari.

“Biasalah orang muda mereka mahu sesuatu yang mencabar malangnya salah seorang daripadanya telah meninggal dunia kerana masalah yang tanpa kami duga,” kata Ali ketika ditemui pada Minggu Kubah di Taman Negara Kubah, Matang dekat sini semalam.

Turut hadir, CEO Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Rashid Khan dan Timbalan Pengurus Besar SFC Oswald Braken Tisen.

Susulan insiden itu, Ali berka-ta pihaknya akan berbincang dan membuat perancangan untuk memastikan semua fasiliti dan infrastruktur dalam taman negara selamat digunakan. Bagaimanapun katanya fasiliti dan infrastruktur sedia ada di Taman Negara Bako dalam keadaan yang selamat dan sentiasa ditambah baik mengikut keperluan dan kemampuan peruntukan.

“Pelan menyeluruh untuk semua taman negara akan disediakan supaya infrastruktur dapat dibaik pulih dan diselenggara sebaiknya.

“Perkara ini telah dibincangkan dan dalam sedikit masa akan diutarakan permohonan kepada pihak berkenaan,” ujar Ali.

Dalam perkembangan berkaitan, Ali memberitahu bahawa statistik menunjukkan terdapat peningkatan bilangan pengunjung dari dalam dan luar negeri ke taman negara yang terdapat di negeri ini terutama Bako dan Pusat Hidupan Liar Semenggok.

Tahun ini SFC katanya menyasarkan kedatangan seramai 5,000 hingga 6,000 pengunjung ke Taman Negara Bako sebulan, 10,000 pengunjung ke Pusat Hidupan Liar Semenggok sebulan dan sekitar 1,000 orang sebulan ke Pusat Hidupan Liar Matang termasuk Taman Negara Kubah.

Advertisement