Anda di sini

Ahli PBTM Mambong diseru menganggotai pasukan sukarela

Advertisement

KUCHING:Ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Mambong diseru menganggotai pasukan sukarela seperti RELA dan Rukun Tetangga sebagai usaha berterusan berkhidmat kepada komuniti setempat.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata langkah itu harus diambil secara positif dan proaktif oleh ahli setelah tamat berkhidmat.

“Mereka sebelum ini pernah berkhidmat sebagai anggota tentera dan mereka lebih memahami tentang keselamatan, kecekapan dan disiplin.

“Justeru, ia dapat tangani masalah sosial di kalangan belia di sekitar kampung dan kawasan perumahan, selain mampu meringankan tugas saya menjaga keselamatan kawasan yang besar ini,” katanya berucap merasmikan Majlis Makan Malam Srikandi PBTM Mambong di sini malam kelmarin.

Tambah beliau, ahli persatuan juga boleh berkhidmat sebagai ketua kaum kerana kemampuan bekerja dengan cekap, jujur dan disiplin tinggi.

Pada majlis itu, beliau telah memakaikan Anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 20 anggota PBTM.

Mereka adalah Daron Dewod, Bobin Rinjo, Jiwan Segol, Belden Pungat, Ginjoi@Gaog Aret, John Suat, Mening Nyau, Sunny Sidas, Mintory Niyos, Bujang Tambeng, Kare Dareh, Kemily Dirop, Elvis Set, Lerie Nios, Robecka Suneb, Sinuwag Rami, Francis Maek, Anthony Anjie Jot, Patricia Lai Sin Moi (balu mewakili mendiang suami) dan Catherine Kayeng Suter (balu mewakili mendiang suami) di Balai Raya Kampung Sinjok, Siburan.

Dr Jerip turut menyerahkan sumbangan PBTM kepada Srikandi PBTM Mambong kepada Juta Singap, Faris Beon, Riyah Jalin, Magdalen Nekin Sabo, Paon Bato, Engelina Ladi dan Nancy Tagud.

Katanya penubuhan Srikandi dan PBTM cawangan akan lebih telus dalam membantu ahli yang memerlukan sumbangan dan bantuan menjaga hal ehwal pahlawan negara yang telah dan sedang berkhidmat serta menjaga kebajikan keluarga mereka.

“Sewaktu dalam perkhidmatan, ada di kalangan anggota perajurit kita yang terkorban atau tercedera justeru kita perlu menjaga keperluan anggota agar tidak terabai.

“Ada juga anggota yang mengalami sakit lumpuh, buah pinggang dan menjadi beban kepada keluarga yang tidak berkemampuan,” jelasnya.

Beliau turut menyuarakan rasa gembira melihat hubungan akrab yang terjalin antara ahli PBTM dan Srikandi Mambong dan berharap ia dapat diteruskan dengan menyokong usaha kerajaan bagi pembangunan kawasan setempat.

Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh mengumumkan sumbangan kepada Srikandi PBTM Mambong sebanyak RM5,000 agar dapat menjalankan lebih banyak aktiviti.

Sementara itu, Pengerusi Srikandi PBTM Sarawak Wendy Trang menyeru golongan wanita membentuk perkumpulan antara 10 hingga 20 ahli untuk menjalankan aktiviti kesukarelaan dengan peruntukan kerajaan di bawah PERWANI 1Malaysia.

PERWANI bertujuan memberi peluang kepada golongan hawa untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup menerusi pelaksanaan beberapa program termasuk pembangunan kapasiti, masyarakat, ekonomi, sosial dan kejiranan.

Kerajaan telah menyasarkan 100,000 komuniti PERWANI di seluruh negara sejak ia dilancarkan tahun lepas.

Borang boleh didapati di Biro Wanita Sarawak dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri.

Setakat ini, pihaknya mempunyai seramai 140 keahlian Srikandi yang telah berdaftar di bawah cawangan Mambong manakala 250 ahli Srikandi telah didaftarkan di seluruh negeri di bawah PBTM Sarawak.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid, Temenggung Bidayuh Kuching Austin Dimin dan pengerusi penganjur Majlis Makan Malam Srikandi PBTM Mambong Irene Andrew.

Advertisement