Anda di sini

Sarawak ungguli WTF di Sabah

Advertisement

Merangkul tujuh emas, enam perak dan enam gangsa

BINTULU: Pasukan Persatuan Taekwondo Sarawak membuktikan keunggulannya apabila merangkul tujuh pingat emas, enam perak dan enam gangsa pada Kejohanan Taekwondo Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) Piala Presiden Persatuan Taekwondo Sabah Bersatu 2014 di Stadium Likas, Sabah.

Kejohanan berlangsung pada 17 hingga 20 April lalu disertai 1,350 atlet taekwondo dari Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei.

Emas diperolehi melalui acara Poomsae dan Sparring oleh tujuh atlet taekwondo Sarawak.

Emas pertama disumbangkan oleh Alya Farzana Asari dari Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Bintulu untuk kategori individu sembilan hingga 11 tahun.

Emas kedua sumbangan Stanley Law (SM Kai Dee Bintulu) untuk kategori individu 12 hingga 14 tahun Poomsae.

Diikuti emas ketiga dan keempat diraih Debbie Isabelle (SMK Bandar Bintulu) dan Ahmady Radi (Gym Taekwondo Medan Raya) masing-masing kategori individu wanita 15 hingga 17 tahun Poomsae dan individu lelaki 18 tahun ke atas.

Emas turut disumbangkan dalam kategori berpasukan Poomsae wanita sembilan hingga 11 tahun oleh Iffah Syahirah Abdul Hanif, Dayang Syakirah Khadra Awang Daud, Alya Farzana Asari.

Manakala emas keenam disumbangkan pasukan Poomsae lelaki (15-17 tahun) terdiri Augustine Rudi Groser, Scott Samuel Divers dan Stanley Law.

Sementara emas ketujuh diraih Scott Samuel Divers dalam acara sparring middle 68 kilogram hingga 73 kilogram.

Pengurus pasukan, Shamsiah Bujang Ismail berkata kontinjen Sarawak bukan sahaja berjaya meraih tujuh emas pada kejohanan itu malah meraih pelbagai pingat pada kejohanan taekwondo peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Kejayaan itu meletakkan pasukan taekwondo Sarawak antara pasukan negeri yang digeruni lawan pada setiap kejohanan yang diharungi,” katanya.

Pasukan taekwondo Sarawak dibimbing dua jurulatihnya iaitu Pui Jak Joon dan Katini Medik sementara Dayang Sapura Awang Mahmood bertindak sebagai ketua pasukan.

Advertisement