Anda di sini

Sarawak menamatkan kempen Piala Presiden 2014 di tangga kesembilan

Advertisement

KUCHING: Sarawak menamatkan kempen Piala Presiden 2014 di tangga kesembilan setelah mengumpul 14 mata hasil dari tiga kemenangan, lima seri dan sembilan kekalahan.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Terengganu di Padang Gong Badak kelmarin, Sarawak tunduk 1-3.

Felda United muncul juara dalam Kumpulan A dengan meraih 34 mata manakala Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menduduki tangga ke-10 dengan hanya enam mata.

Saingan Kumpulan B pula menyaksikan Perak muncul juara dengan 34 mata, manakala Kuala Lumpur di tangga terakhir dengan lapan mata.

Pengendali Sarawak Johnny Dominicus berkata pencapaian Sarawak pada kempen kali ini tetap membanggakan kerana kebanyakan pemain yang dipilih masih baharu.

“Saya hanya diberi tempoh sebulan untuk membentuk pasukan ini. Persediaan kita juga agak singkat kerana cuaca yang tidak menentu pada awal musim.

“Justeru, saya memang tidak mengharapkan apa-apa daripada pasukan ini kerana kebanyakan pemain masih terlalu baharu dan mereka memerlukan banyak masa untuk membina keserasian dan keyakinan,”katanya di sini semalam.

Menurut Johnny, anak-anak buahnya mula menampakkan peningkatan pada pusingan kedua dengan beberapa kemenangan dan keputusan seri berjaya dicapai.

“Dalam bola sepak, kita perlu bersabar jika hasil yang kita harapkan gagal dicapai. Saya tetap akan memberi pemain peluang kerana saya yakin mereka akan beraksi dengan lebih baik pada musim depan,” ujarnya.

Menurut Johnny, fokusnya kini terarah kepada persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) XVII di Kangar, Perlis.

Untuk itu, beberapa perlawanan persahabatan sedang dalam perancangan dalam usaha memantapkan skuad muda Sarawak itu.

“Saya akan menilai semula prestasi kesemua 25 pemain untuk mencari 18 pemain yang akan menggalas tugas di Perlis.

“Bagaimanapun, saya mungkin akan melakukan pertukaran sekiranya menemui pemain baharu yang lebih berpotensi,” katanya.

Advertisement