Anda di sini

Hukum hudud: PAS sedia bermuzakarah

Advertisement

Beri penerangan kepada semua pihak mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan

KOTA BAHARU: PAS akan dan bersedia mengadakan muzakarah dengan semua pihak bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata muzakarah tersebut penting supaya setiap orang dapat memahami dengan tepat bagaimana undang-undang Islam itu akan diaplikasikan di negeri itu.

“Kita sedia memberi penjelasan kepada semua pihak,” katanya apabila diminta mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam bahawa muzakarah antara PAS dan UMNO perlu diadakan berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud supaya pemahaman dan persetujuan bersama da pat dicapai.

Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk ‘Wisma Ilmuan Kelantan’ di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ditanya bila tarikh muzakarah itu akan diadakan, Abdul Hadi berkata: “Itu jangan tanya pihak kami sahaja, kena tanya pihak lain juga. Tidak jadi kalau bertepuk sebelah tangan”.

Mengenai laporan bahawa sekutu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak pelaksanaan hukum hudud, Abdul Hadi berkata: “Ia adalah hak PAS dan perlu dihormati kerana agenda ini (hudud) telah diadakan sebelum wujudnya PKR lagi.”

Sebelum ini, PKR dilaporkan bertegas menolak pelaksanaan hukum hudud seperti mana perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pembangkang pada tahun 2011.

PAS Kelantan melalui ahli Parlimennya akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.

Sebelum ini, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, dilaporkan berkata pihaknya sudah pun menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan.

Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah SWT, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu.

Sementara itu, Mustapa berkata UMNO negeri akan meminta pihak PAS menetapkan tarikh bagi pertemuan itu.

“UMNO telah menjelaskan tidak pernah menentang hukum hudud tetapi pelaksanaannya perlu diberikan penjelasan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Simposium Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) di Pusat Transformasi Luar Bandar di Tunjong di sini, semalam.

Simposium itu bersempena Minggu Amanah Saham Amanah Malaysia 2014 yang akan berakhir hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Mohd Najib Abdullah. — Bernama

Advertisement