Anda di sini

PBS lahir generasi seimbang

Advertisement

KUCHING: Sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada peperiksaan merupakan ‘pembunuh senyap’ kepada negara pada masa akan datang, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Safa’at Tumin.

Ini kerana, katanya, sistem pendidikan sedemikian tidak boleh melahirkan generasi seimbang.

Menurutnya, pelajar yang memperolehi 9A dalam peperiksaan awam bukan jaminan mereka menerapkan patriotisme dan perpaduan apabila dewasa kelak yang akhirnya boleh meruntuhkan sebuah negara.

“Mungkin ramai yang tidak menyedari penekanan kepada sistem pemeriksaan semata-mata merupakan pembunuh senyap kerana ia tidak boleh melahirkan pelajar yang holistik sifatnya.

“Pendidikan berasaskan peperiksaan tidak boleh me-lahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan pada masa sama, tinggi nilai sahsiahnya. Ini hanya boleh dilakukan menerusi PBS yang menilai pelajar bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga emosi, jasmani dan rohani,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Transformasi PPD Bersama Pengelola Sekolah-Sekolah Malaysia 2014 di sini, semalam.

Justeru, Safa’at berkata warga pendidik dan ibu bapa harus memberi kepercayaan kepada pelaksanaan Pentaksiran Ber-asaskan Sekolah (PBS) untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi tinggi sahsiahnya.

“Kita tidak boleh terus kata, mansuhkan PBS bila berdepan kekangan, kita perlu fikirkan masa depan. Mula-mula memanglah kita tidak biasa, Hong Kong mengambil masa 11 tahun untuk menstabilkan sistem itu,” katanya.

Beliau berkata, kelemahan PBS yang dilaksanakan kira-kira tiga tahun bagi sekolah menengah bukan alasan untuk terus memansuhkannya, sebaliknya berusaha mencari cara untuk memperbaiki dan mempermudahkan pelaksanaannya.

“Kita tidak boleh ber-anggapan kalau tidak ada sistem peperiksaan, habislah sistem pendidikan itu. Itu anggapan yang salah. Kalau ia terus dilaksanakan, budaya (pendidikan) kita akan menjadi budaya peperiksaan.

“Seluruh yang baca buku dan pergi tuisyen hanya untuk menghadapi peperiksaan. Pendidikannya macam mana?” ujarnya.

Beliau berkata, PBS turut memberi penekanan kepada ujian tetapi ia dalam bentuk pentaksiran melalui pembelajaran dan pengajaran melalui pentaksiran.

Katanya lagi, PBS memberi penekanan kepada perkembangan murid dari awal, bukannya di penghujung iaitu apabila mereka menduduki peperiksaan awam.

Katanya, setiap ujian bulanan, soalan dikemukakan kepada pelajar di dalam kelas sebenarnya adalah pentaksiran berasaskan sekolah, tetapi PBS bersifat menyeluruh melibatkan jasmani, sukan dan kokurikulum yang boleh mencungkil kelebihan pelajar di kemudian hari.

“Pentaksiran bukan suatu yang baharu dalam sistem pendidikan, ia berlaku setiap kali guru mengajar. PBS ba-nyak kelebihannya kerana ia dapat memastikan penglibatan aktif pelajar dalam kelas dan secara tidak langsung guru boleh memantau dengan lebih dekat perkembangan pelajar dalam akademik, kemahiran pengetahuan asas dan tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, ibu bapa tidak harus bimbang dengan pelaksanaan PBS kerana setiap pencapaian pelajar akan disertai penjelasan yang lengkap dengan bukti dan tidak hanya sekadar keputusan.

“Jika semua memainkan peranan, komited dan penuh yakin PBS akan berjaya dan matlamat melahirkan gene-rasi yang berilmu serta tinggi sahsiahnya akan berhasil,” katanya.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Abdillah Adam, Yang Dipertua Persatuan Pengelola Sekolah-Sekolah Malaysia (PPSM) Hussin Mustafa, Presiden Kongres Guru Kebangsaan Jamale Paiman dan Presiden Kesatua Guru Bumiputera Sarawak (KGBS).

Pada majlis itu, keputusan resolusi persidangan dise-rahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia mene-rusi Safa’at.

 

 

 

 

Advertisement