Anda di sini

Pameran Rumah Perfect Livin sasar urus niaga jualan RM20j

Advertisement

KUCHING: Pameran Rumah Perfect Livin menyasarkan urus niaga jualan mencapai RM20 juta selama empat hari pameran yang bermula semalam (24 April) hingga 27 April (Ahad) ini.

Pengarah i.Star Ideas Factory Sdn Bhd Jason Yap berkata, selaku penganjur, pihaknya menjamin untuk mencapai sasaran berdasarkan maklum balas yang luar biasa daripada orang ramai sama seperti sambutan tahun lepas.

“Seperti tahun lepas, kami menyasarkan seramai 40,000 hingga 50,000 pengunjung datang ke pameran kami yang berlangsung selama empat hari itu,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.

Katanya, sama seperti pameran yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, pameran itu berjaya mencapai urus niaga jualan mencecah RM150 juta selain dikunjungi hampir 100,000 pengunjung.

Antara kekuatan pameran itu katanya, pempamer yang terlibat memperkenal produk terbaharu dengan barangan yang sangat berkualiti selain memiliki pilihan yang pelbagai kepada pengguna.

“Pelanggan berpeluang membeli produk eksklusif kerana pempamer kebanyakannya akan memperkenal serta menjual produk terbaharu mereka semasa pameran itu sebelum ia dipasarkan di pasaran semasa,” katanya.

Pengunjung pasti akan merasai pengalaman memiliki rumah kediaman yang mempunyai pelbagai ciri kemasan yang dijanjikan kepada pemilik yang mengimpikan ‘oomph’ pada rumah mereka.

Dengan lebih daripada 300 gerai pameran yang terlibat, pameran kegemaran seluruh rakyat Malaysia itu pasti akan memenuhi selera serta cita rasa gaya hidup pengguna.

Sementara itu, Pengurus Janice Yam berkata, 1,000 pengunjung pertama akan berpeluang menerima botol minuman aluminium eksklusif terhad daripada Perfect Livin serta 2,000 beg silang rekaan istimewa turut diedarkan setiap hari.

Yam menambah, setiap hari juga sepanjang pameran itu berlangsung, pengunjung bertuah yang mendaftar juga berpeluang membawa pulang televisyen LED Panasonic 42 inci, tilam berjenama dan kerusi baring berjenama.

Sebagai tambahan, Yam berkata, pelanggan yang berbelanja RM500 dan ke atas juga layak untuk menebus hadiah menarik daripada pelbagai barangan berjenama selain menyifatkan berbelanja mahal, hadiah juga pasti mahal.

“Banyak lagi tawaran istimewa yang kami tawarkan pada pameran kali ini. Anda yang berbelanja RM100 berpeluang menjadi pemenang Peraduan Beli dan Menang yang kami anjurkan.

“Selain itu, kami turut menawarkan tilam mewah Bochum dari Hilker bernilai RM6,990 setiap satu dan juga kerusi baring Lavino untuk direbut setiap hari,” katanya.

Pameran tersebut bermula dari jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari di BCCK.

Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah melayari laman sesawang di alamat www.perfectlivin.com atau berhubung terus dengan penganjur melalui laman Facebook dan Twitter.

Advertisement