Anda di sini

Maut digilis ketika hantar anak

Advertisement

TERBUNUH: Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa dari bawah lori treler.

 

Anak mangsa yang terjatuh, terselamat dan hanya cedera di kaki

BINTULU: Seorang bapa yang dalam perjalanan menghantar anak perem­puannya ke sebuah sekolah di sini maut apabila mo­tosikal yang ditunggangi bersama anaknya terlibat dalam kemalangan ngeri di Batu 7, Jalan Bintulu-Miri di simpang lama menghala ke Rumah Jenap, pagi se­malam.

Insiden berlaku pada jam 8 pagi apabila mangsa yang dikenali sebagai Anthony Wini Ongkong, 46, dari Rumah Justin Balang, Sun­gai Pengerat, Batu 15 Jalan Bintulu-Miri, menghantar anak perempuannya yang berusia 13 tahun ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu.

Difahamkan, kemalangan membabitkan lori treler di belakang mangsa yang di­percayai memotong mangsa secara tiba-tiba dan mem­belok masuk ke simpang di sebelah kiri jalan itu.

Akibatnya, mangsa digilis tayar lori treler berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala anak perem­puannya yang terjatuh di tepi jalan terselamat dan hanya mengalami keceder­aan di kaki.

Mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor di Hos­pital Bintulu mempunyai tujuh anak akan meng­gunakan jalan berkenaan untuk menghantar anak perempuannya ke sekolah pada jam 7.30 pagi setiap hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu Su­perintenden Madang Usat mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dan anak perem­puannya dari arah jalan Miri ke Bintulu berlanggar den­gan sebuah lori treler yang sedang bergerak memasuki simpang sebuah rumah panjang.

“Ia mengakibatkan mang­sa terjatuh dan terseret ber­sama motosikalnya selain tersepit di bawah tayar lori treler terbabit serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya di sini semalam.

Beliau berkata, pemandu lori treler itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera men­gambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah lori itu.

Advertisement