Anda di sini

Majlis Anugerah Presiden rai 814 pelajar Kolej PTPL

Advertisement

KUCHING: Majlis Anugerah Senarai Presiden Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan Kolej PTPL (PTPL) mencatat sejarah baharu dengan penerimaan seramai 814 pelajar yang terdiri daripada pelajar peringkat diploma dan sijil dalam pelbagai pengkhususan.

Georgina Mujan George, 23, berasal dari Miri, Sarawak berkata, dia teruja apabila namanya tersenarai menjadi salah seorang penerima Anugerah Presiden.

“Mengambil jurusan Diploma Perguruan dalam Pengajian Bahasa Inggeris (TESL) bukanlah sesuatu yang mudah selepas mengambil kira pelbagai faktor, namun berkat kesabaran serta sokongan daripada pensyarah membantu saya untuk sampai ke tahap sekarang ini.

“Ini merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki ke Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan ia membuatkan semangat saya berkobar-kobar untuk melanjutkan pelajaran di sini,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Tambah Goergina, anugerah yang diterimanya adalah hadiah yang didedikasi kepada keluarganya terutama ibu bapanya yang berada di Miri.

Dia memilih Kolej PTPL kerana kolej itu menyediakan bidang pengajian yang terbaik sekali gus membuka peluang luas kepadanya untuk mendapatkan pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Presiden jurusan Diploma Pengurusan PTPL Kuching, Graceviness Rijen, 26, pula berkata, kejayaannya adalah hasil pengorban ibu bapa yang sentiasa memastikan keperluan pengajiannya mencukupi walaupun berasal dari keluarga susah.

“Saya bukanlah dari keluarga yang kaya dan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu kurang memuaskan dan saya berasa amat bersyukur apabila diterima masuk ke Kolej PTPL.

“Anugerah ini akan menjadi pencetus semangat kepada saya untuk terus melakar dan mencipta kejayaan pada masa akan datang.

“Saya berharap kolej PTPL akan meneruskan perjuangan mereka dalam membentuk pelajar dan pensyarah yang berdaya saing dalam bidang akademik sekali gus menyerlah dalam cara didikan yang kreatif dan inovatif,” katanya.

Kumpulan pelajar Anugerah Presiden terdiri daripada sembilan cawangan PTPL seluruh Malaysia merangkumi Shah Alam, Sentral, Ampang, Seremban, Kota Bharu, Terengganu, Sungai Petani, Sabah dan Sarawak.

Anugerah disampaikan oleh Predisen MSU dan Kumpulan Kolej PTPL Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Advertisement