Anda di sini

Latihan pertingkatkan kecekapan

Advertisement

BINTULU: Latihan-latihan menghadapi bencana terutama insiden berskala besar merupakan peluang untuk pegawai dan anggota penyelamat mempertingkat dan memperkemaskan kecekapan mereka dalam tugas-tugas menyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, ia merupakan persediaan awal berbanding menunggu insiden itu berlaku yang kemungkinan boleh menggagalkan operasi.

Justeru, katanya, pihak JBPM perlu mewujudkan satu lapangan untuk menyediakan fasiliti, senario dan mengkaji keupayaan para pegawainya untuk menangani insiden berpotensi.

“Untuk insiden berskala besar kita akan melihat koordinasi ataupun mengenai kaedah ‘Integrated Command’ dapat dilaksanakan di sini mengikut pengurusan bencana di Malaysia.

“Ia memerlukan kita berkoordinasi dengan pihak polis, hospital, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), telekom, pemilik premis dan media,” ujarnya pada sidang media Program Latih Amal D’Mex Bintulu Peringkat Negeri Sarawak di Kilang Sime Darby Austral Sdn Bhd di Tanjung Kidurong semalam.

Beliau berkata, melalui latihan ini, maklumat pihak jabatan bomba dan agensi-agensi penyelamat lain dapat diseragamkan dengan maklumat pihak polis kepada pihak hospital dan juga media.

“Ini kerana pengurusan media ini amat penting. Silap memberi komen di peringkat bawah akan sampai maklumat yang silap juga di dalam media yang kemungkinan besar menyebabkan ada golongan yang mengambil kelemahan ini sebagai faktor untuk mempertikaikan keberkesanan menangani insiden,” jelasnya.

Katanya, matlamat itu telah dapat dicapai pagi semalam disusuli ‘bedah siasat’ untuk mengkaji kaedah-kaedah untuk memperkemaskan dan mengatasi kelemahan semasa menangani insiden-insiden.

Ujarnya, penglibatan pihak industri juga bukan sesuatu yang mudah kerana mereka terpaksa menghentikan sementara operasi sekali gus turut melibatkan kos.

“Tetapi ia juga situasi menang-menang yang mana pihak kilang dapat memotivasi stafnya tentang bagaimana pihak penyelamat berfungsi dan kita juga dapat melihat untuk memperkemaskan tindakan jika insiden seumpamanya berlaku ke atas mana-mana kilang,” jelasnya.

Berhubung cara pihak media mendapatkan maklumat sesuatu insiden, katanya, JBPM akan mewujudkan pusat kawalan bomba dan pihak media boleh mendapatkan maklumat daripada pegawai-pegawai kanan di situ dan merujuk kepada pihak tertentu yang boleh memberikan kenyataan.

Mengenai kerjasama dengan kilang industri besar di Bintulu, katanya, Nor Hisham percaya kejadian di Shell MDS adalah antara yang terakhir pernah dihadapi tetapi risikonya sentiasa ada di Bintulu.

“Selain fokus antara agensi kita juga berusaha untuk membangunkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) dalam kawasan industri supaya mereka dapat menangani di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya latihan semalam berjaya dari segi koordinasi dengan menggunakan masa sebenar.

Sementara itu, Pengurus Besar Sime Darby Austral Sdn Bhd Mohd Asgnari Saion berkata, industri itu perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja, justeru pihaknya menubuhkan ERT sendiri dan mengadakan latihan setiap tahun.

“Isu keselamatan adalah satu daripada keutamaan kami,” tambahnya.

Terdahulu seramai 299 anggota terlibat dalam latihan itu dan 141 anggota adalah agensi penyelamat lain membabitkan Hospital Bintulu, JPAM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia membabitkan senario latihan letupan kebakaran dan kemalangan jalan raya di kilang Sime Darby Bintulu.

Advertisement