Anda di sini

Langkah tegas elak tragedi bot karam berulang

Advertisement

SIBU: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak akan menjalankan operasi pencegahan di semua terminal penumpang di seluruh negeri bagi mengelakkan tragedi bot ekspres karam tahun lepas berulang semula.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak ACP Mohd Saleh Mat Jani berkata, operasi akan bermula dua minggu sebelum sambutan Gawai Dayak bagi mencegah bot ekspres membawa penumpang berlebihan.

“Kita akan tempatkan pegawai dan anggota di terminal. Kita akan membuat pemerhatian dan memberi nasihat kepada pengusaha bot ekspres agar tidak membawa penumpang berlebihan.

“Jika mereka berdegil, kita akan tahan. Namun setakat ini semua pengusaha memberi kerjasama yang baik,” ujarnya kepada pemberita selepas Program Communiti Policing di Terminal Penumpang Sibu (TPS), semalam.

Program dianjurkan oleh Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak Sibu ini julung kali dijalankan di sini dalam usaha mendekatkan pihak polis dengan masyarakat.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, DSP Martin Koo serta yang lain. Menurut Mohd Saleh, Polis Marin juga akan menjalankan operasi di sungai dalam usaha mencegah penyeludupan barangan seperti mercun dan sebagainya.

“Oleh itu, kita amat mengharapkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada kita,” katanya sambil memberitahu program ‘Community Policing’ itu akan diteruskan pada masa hadapan.

Menyentuh lanjut mengenai program, beliau memberitahu ia bertujuan memaklumkan kepada pengguna-pengguna bot ekspres berhubung ‘Community Policing.’

Program, katanya, juga bagi memaklumkan kepada pengusaha-pengusaha bot agar tidak membawa penumpang yang berlebihan, selain perlu membawa alat keselamatan seperti jaket keselamatan dan alat pemadam api.

“Ini kerana keutamaan kita adalah aspek keselamatan penumpang,” jelas Mohd Saleh lagi.

Advertisement