Anda di sini

Kian kurang sekolah minat sertai pertandingan bahas

Advertisement

SIBU: Lebih banyak sekolah di Bahagian Sibu diharap dapat menyertai Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Piala Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad berikutan semakin kurang sekolah menunjukkan minat menyertai pertandingan tersebut.

Penolong Pegawai Pelajaran Bahagian Sibu Lim Chun Len berkata, daripada 27 sekolah menengah di sini, hanya tujuh mengambil bahagian pada pertandingan kali ini.

“Pertandingan ini telah diadakan sejak bertahun yang lepas, namun setiap tahun kita sukar untuk mendapatkan penyertaan daripada sekolah-sekolah,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutup pertandingan peringkat bahagian di SMK Chung Hua, semalam.

Menurut Lim, pelajar kini semakin kurang berminat dalam pertandingan bahas kerana takut untuk melakukan kesilapan ketika berbahas.

Namun, katanya, pertandingan bahas merupakan tempat yang baik untuk melatih pelajar dalam berhujah, bercakap dan membuat persembahan.

“Semua kemahiran ini semakin kurang dimiliki oleh para pelajar pada hari ini,” jelas beliau sambil memberitahu dahulu Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris dijalankan pada peringkat antara kelas atau rumah.

Dalam pertandingan akhir semalam, SMK Methodist berjaya muncul pemenang setelah menewaskan SMK Tung Hua.

Tempat ketiga dimenangi oleh SMK Saint Elizabeth. Rayden Sia dari SMK Methodist pula telah dipilih sebagai pembahas terbaik.

Advertisement