Anda di sini

Tenaga kerja mapan jamin pembangunan Sarawak

Advertisement

CUBA SENDIRI: Dennis (kanan) menyemburkan cat di sebuah bengkel IKBN Miri semalam.

Kerajaan berusaha gigih untuk beralih daripada ekonomi asas pertanian kepada perindustrian: Dennis

MIRI: Sarawak memerlukan sumber tenaga kerja yang mapan dan murah untuk meneruskan gelombang pembangunan kedua yang dijangka sehingga tahun 2030.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, tanpa dua elemen tersebut tenaga kerja serta kemahiran yang diusahakan selama ini akan sia-sia.

“Kerajaan telah berusaha gigih ke arah supaya keduaduanya bergabung dan hasilnya adalah gelombang pembangunan kedua iaitu realiti baharu bagi kita,” katanya pada perasmian Karnival Gerbang Kerjaya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri 2014 di sini, semalam.

Dennis berkata, ia terbukti benar jika dilihat kepada negara- negara yang telah maju dari segenap aspek terutamanya ekonomi.

Sebab itu, katanya, landskap ekonomi negeri ini sebenarnya beransur berubah daripada berasaskan pertanian ke arah perindustrian dalam arus gelombang pembangunan dimaksudkan itu.

“Melalui wujudnya industri berat, sekurang-kurangnya sejuta peluang pekerjaan wujud untuk diisi oleh belia kita,” jelasnya.

Kekosongan tenaga kerja itu, katanya, termasuk dari kurang mahir sehingga ke tenaga profesional.

Sumbangan untuk mengisi kekosongan dalam tenaga kerja seperti itu, kata Dennis, tidak mencukupi jika hanya berharap kepada penduduk di kawasan bandar sahaja.

“Di Sarawak, tenaga kerja turut diperlukan dari kalangan penduduk luar bandar dan pedalaman,” ujarnya lagi.

Turut hadir pada majlis adalah Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKBN Miri Zainal Abidin Nordin.

Karnival berkenaan diadakan dua kali setiap tahun dan kali kedua bakal diadakan pada Oktober depan sempena konvokesyen IKBN Miri.

Advertisement