Anda di sini

Sarawak keenam tertinggi di Malaysia

Advertisement

ZAKAT PERNIAGAAN: Adenan menerima zakat perniagaan Bank Rakyat daripada Mangsor di Wisma Bapa Malaysia, Kuching semalam. Turut kelihatan Daud (tiga kanan), Putit (dua kanan), Shibli (kanan) dan Zaki (kiri).

Bank Rakyat serah zakat lebih RM2j hasil untung RM169j tahun lepasKUCHING: Bank Rakyat membayar zakat perniagaannya bagi tahun 2013 berjumlah RM2,039,686 kepada Majlis Islam Sarawak (MIS) yang diserahkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Wang zakat itu disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat Datuk Mangsor Saad yang turut diiringi Ketua Pegawai Teknologi Maklumat dan Operasi Bank Rakyat Datuk Rahim Yunus.

Menurut Mangsor, pembayaran zakat lebih RM2 juta itu merupakan hasil keuntungan operasi Bank Rakyat berjumlah RM169,177,900 di Sarawak pada tahun 2013.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah hasil keuntungan Sarawak merupakan kelima tertinggi di Malaysia.

“Hasil untung operasi paling tinggi ialah Selangor dengan pendapatan berjumlah RM330 juta diikuti Wilayah Persekutuan dengan RM259 juta, Johor (RM204 juta), Sabah (RM204 juta) dan Sarawak.

“Untuk makluman, pendapatan kasar Bank Rakyat pada tahun 2013 keseluruhannya RM6.07 bilion dan keuntungan bersih sebelum zakat serta cukai adalah RM2.13 bilion, manakala keuntungan bersih adalah RM1.191 bilion.

“Daripada keuntungan bersih ini, kita sudah mengeluarkan dividen sebanyak 15 peratus kepada pemegang saham Bank Rakyat,” katanya sambil menjelaskan Perak mencatatkan keuntungan kelima tertinggi di Malaysia.

Dalam pada itu, Mangsor memberitahu dalam keadaan ekonomi yang mencabar, Bank Rakyat masih mampu mengekalkan prestasinya untuk tahun 2012 dan 2013 yang mana masih mengekalkan untung bersih sebelum zakat dan cukai berjumlah RM2.1 bilion.

“Oleh itu, kita berharap dapat mengekalkan prestasi cemerlang pada tahun ini (2014),” tambahnya.

Mangsor menambah, jumlah cawangan Bank Rakyat di seluruh Malaysia adalah sebanyak 145 cawangan dan di Sarawak sahaja, terdapat 14 cawangan dan sebuah Ar-Rahnu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Yang Dipertua MIS Datu Putit Matzen, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Penolong Naib Presiden, Pengawasan Syariah Bank Rakyat Mohd Zaki Ibrahim dan rombongan.

Advertisement