Anda di sini

Peragut tegar akhirnya tumpas

Advertisement

Pemuda yang dicekup polis selepas melarikan telefon bimbit wanita dakwa meragut untuk menyara keluarga.

KUCHING: Meragut untuk menyara keluarga. Demikian alasan yang diberikan seorang daripada peragut yang berjaya ditangkap setelah meragut telefon bimbit seorang wanita di Simpang Tiga di sini, pagi semalam.

Difahamkan, peragut berusia 23 tahun dan sudah berkahwin itu, nekad berbuat sedemikian kerana tidak mahu bekerja dan ingin mendapatkan wang segera tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Bagaimanapun, perkara tersebut hanya mengundang padah kepada dirinya apabila insiden tersebut disaksikan sendiri oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam (KBKA) IPD Kuching DSP Amihizam Abdul Shukor yang kemudian terus mengarahkan anggotanya mengejar suspek.

“Suspek mulanya berjaya meloloskan diri bersama seorang lagi lelaki dengan menaiki sebuah motosikal, namun berjaya dikesan semula anggota trafik berdekatan bulatan Muara Tabuan, lalu mereka dengan pantas menyekat laluan dan terus menahan kedua-dua suspek.

“Turut ditemui pada suspek ialah seunit telefon pintar jenis Samsung Note 2 yang telah diragut daripada mangsa,” kata Amihizam.

Suspek bersama seorang lagi rakan subahatnya yang berusia 18 tahun dan berasal dari Tabuan Foochow telah dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk siasatan lanjut.

“Suspek juga pernah ditangkap sebanyak dua kali sebelum ini kerana terlibat dalam kes curi motosikal,” kata Amihizam lagi.

Mangsa yang berusia 22 tahun dan berasal dari Kampung Mundai, Padawan itu juga telah membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Amihizam menasihatkan pejalan kaki terutama wanita agar sentiasa berhati-hati dan mengelak daripada berjalan seorang diri agar tidak menjadi mangsa ragut.

“Selain itu, orang ramai terutama ibu bapa perlu peka dan sentiasa membimbing anak-anak agar menjauhi kegiatan seperti ini kerana ia merupakan satu kesalahan serius yang boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Advertisement