Anda di sini

Pendedahan terbaik: Liew

Advertisement

SLTA sekali lagi diberi penghormatan anjur Kelayakan Akhir Piala Davis Remaja dan Piala Fed Remaja Asia/Oceania

KUCHING: Seramai 96 pemain tenis mewakili 18 negara bakal berkampung selama 15 hari di sini untuk menyertai Kelayakan Akhir Piala Davis Remaja dan Piala Fed Remaja Asia/Oceania dari 27 April hingga 11 Mei 2014.

Gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) sekali lagi diberi penghormatan untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu yang turut menyaksikan penyertaan tiga atlet SUKMA XVII Sarawak Alvin Teng, Belinda Chai dan Linda Liong yang mewakili Malaysia.

Alvin akan bersaing dalam saingan Piala Davis Remaja (lelaki) manakala Belinda dan Linda akan bertarung bagi menentukan slot dalam Piala Fed Remaja (wanita).

Presiden SLTA Dato Patrcik Liew berkata, kejohanan itu menjadi pendedahan terbaik buat ketiga-tiga pemain itu memandangkan selepas ini mereka akan menyertai SUKMA XVII di Kangar, Perlis.

“Kejohanan ini merupakan pendedahan terbaik buat Alvin, Belinda dan Linda,” katanya semasa sidang media kejohanan tersebut semalam.

“Harapan saya agar mereka memberikan yang terbaik serta menimba seberapa banyak pengalaman untuk memantapkan lagi persediaan sebelum menghadapi SUKMA XVII.”

Liew turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan SLTA menganjurkan tujuh kejohanan dalam tempoh lima bulan.

“Ini merupakan rekod terbaharu persatuan di mana kita berjaya membuktikan Sarawak mampu menganjurkan banyak kejohanan tenis antarabangsa.”

Katanya, penganjuran kejohanan tenis bertaraf antarabangsa secara berterusan di sini juga merupakan platform terbaik untuk mempromosi sukan itu secara komprehensif di negeri ini.

“Kita juga berasa sangat bangga dan bertuah kerana buat pertama kalinya wakil daripada Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), Catherine Michie akan tiba dari London pada 2 Mei depan di sini.

“Saya harap kehadirannya di sini akan memberi promosi yang lebih baik untuk persatuan sekali gus membawa nama Sarawak di peta dunia,” jelas Liew.

Dua pasukan teratas yang menyertai prakelayakan pada Februari lalu iaitu Pakistan dan Syria (Piala Davis), Kazakhstan dan Sri Lanka (Piala Fed) melayakkan diri secara automatik pada kelayakan akhir tersebut.

Manakala empat pasukan teratas pada kelayakan akhir akan menempah tiket ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di Republik Czech pada Ogos depan.

Advertisement