Anda di sini

Lerai motosikal sebaik dicuri kekang usaha polis Padawan banteras kecurian

Advertisement

KUCHING: Tindakan suspek meleraikan komponen motosikal sebaik dicuri antara kekangan dihadapi polis Padawan dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Timbalan Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Yap Fui Lee berkata, hasil perisikan mendapati motosikal yang dicuri dileraikan sebaik dicuri selain diseludup keluar ke negara jiran dan digunakan di kawasan kampung atau jauh dari bandar.

“Hasil risikan kita mendapati memang ada suspek membawa motosikal dicuri ke negara jiran, ada yang digunakan untuk keseronokan menunggang, dilerai untuk diambil komponen berharga selain hanya digunakan di kawasan kampung atau jauh dari bandar,” katanya.

Justeru ujarnya, IPD Padawan mempergiatkan lagi usaha membanteras kecurian kenderaan menerusi Operasi Lejang Khas dari semasa ke semasa dengan operasi mengesan penjenayah dan sekatan jalan raya.

“Jenayah paling banyak dicatatkan di daerah Padawan ialah curi kenderaan terutamanya motosikal, merupakan penyumbang utama statistik jenayah di daerah ini, jenayah kekerasan sangat minimum dan kebanyakannya dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan sagu hati.

“Namun secara keseluruhannya statistik jenayah bagi daerah Padawan menunjukkan penurunan. Bagi tempoh Januari 2014 hingga semalam (kelmarin) sebanyak 19.5 peratus penurunan direkodkan. Malah tahun lepas statistik jenayah di daerah ini turut mencatatkan penurunan sebanyak 27 peratus,” jelasnya.

Mengenai usaha pihaknya mengekang kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar, Yap berkata pendekatan kepolisian masyarakat diambil yang menitikberatkan hubungan baik antara polis dan pengurusan sekolah.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pegawai perhubungan dalam kalangan anggotanya diwujudkan yang bertanggungjawab memastikan pelajar sekolah sentiasa didedahkan kepada aspek kepolisian.

Tambahnya lagi, bagi mendekatkan polis dengan pelajar sekolah menengah, setiap sekolah digalakkan mewujudkan pasukan Kadet Polis.

“Memang kita ada pegawai perhubungan yang berperanan menghubungkan polis dengan sekolah, mereka ini akan memberi nasihat kepada pelajar dari segi kepolisian. Ini kita panggil aktiviti kemasyarakatan antara polis dan sekolah.

“Tambahan kita menggalakkan sekolah menengah mempunyai Kadet Polis dan setakat ini 12 buah sekolah di daerah Padawan sudah ada pasukan Kadet Polis masing-masing,” jelasnya.

Advertisement