Anda di sini

Lelaki maut kereta rempuh dua penghadang besi

Advertisement

MAUT: Mayat mangsa menunggu untuk dihantar ke Hospital Sibu.

SIBU: Seorang lelaki maut selepas kereta Mitsubishi Pajero yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua penghadang besi di Kilometer 25 Jalan Tun Ahmad Zaidi Edruce, malam kelmarin.

Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam tidak jauh dari persimpangan lampu isyarat Sibu Jaya selepas mangsa yang hanya dikenali sebagai Leong, 50-an, menghantar seorang rakan pulang ke rumah di Sibu Jaya.

Menurut sumber, mangsa dan rakannya baharu balik daripada memancing.

Kereta mangsa dikatakan gagal berhenti di simpang jalan utama sebaliknya terus merempuh besi penghadang di pembahagi jalan raya dan penghadang besi di tepi jalan sebelum terbabas ke cerun.

Kemalangan itu turut merosakkan sebuah tiang lampu di situ.

Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan mengerahkan pasukannya pergi ke lokasi kemalangan untuk mengeluarkan mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa oleh kenderaan polis ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Advertisement