Anda di sini

Kes penderaan perlu dilaporkan

Advertisement

Wanita luar bandar perlu tingkat kesedaran tentang kesalahan jenayah

SIBU: Wanita luar bandar dinasihatkan agar tidak berasa ragu-ragu memberi kerjasama kepada pihak polis dengan melaporkan aktiviti jenayah di kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent  berkata, mereka mungkin tidak sedar bahawa adalah satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut undang-undang jika seseorang suami mendera isteri atau anak-anak mereka.

“Terdapat aktiviti jenayah lain termasuk rogol, pecah rumah, kecurian, vandalisme dan penyalahgunaan dadah.

“Oleh kerana kurang pendedahan, wanita luar bandar tidak tahu bahawa ia (penderaan) boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka menyedari kejadian seumpamanya.

“Ada juga yang tidak tahu di mana hendak membuat laporan polis,” ujarnya ketika merasmikan pelancaran Aktiviti Komuniti Nanga Tada di Dewan Penghulu Seribu Nanga Tada, kelmarin.

Program tersebut dianjurkan oleh Majlis Daerah Kanowit, Jabatan Penerangan Kanowit, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Komuniti 1Malaysia (K1M) Nanga Tada, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) Nanga Tada dan ‘Peace Lady’ (AMANITA) daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Alexander Susan Clement, pengerusi JKKK Nanga Tada Penghulu Ugap Seribu, Pengerusi AMANITA Kanowit Sarjan Roslin Hashim, Ketua Jabatan Penerangan Kanowit Wan Zuki Wan Ismail dan pengerusi penganjur Bunut Kubu.

Antara aktiviti yang diadakan ialah demonstrasi memadamkan api, kempen anti tikus, pameran, senamrobik dan ceramah mengenai pencegahan jenayah oleh AMANITA Kanowit.

Alexander berkata, program itu merupakan platform yang sangat penting untuk berkongsi pengetahuan dan maklumat dengan penduduk luar bandar.

Beliau kemudian mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM8,000 untuk aktiviti AMANITA Kanowit.

Advertisement