Anda di sini

Kelantan belum putuskan sidang khas DUN bagi bincang perlaksanaan hudud

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan belum membuat sebarang keputusan sama ada perlu atau tidak untuk meng-adakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan cada-ngan perlaksanaan hukum hudud di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri akan memikirkannya secara teliti sama ada perlu pihaknya untuk memanggil persidangan khas DUN itu.

“Kita lihat kepada kepen-tingan sama ada perlu kita buat persidangan khas itu pada Jun atau Oktober tahun ini ketika dewan bersidang mengikut jadualnya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Buku Tok Guru-Sebuah Biografi Awal di sini, semalam.

Turut hadir bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beberapa hari lalu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institut Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan mendesak agar kerajaan negeri mengadakan sidang khas DUN itu bagi membincangkan pelaksanaan hudud secara mendalam dalam kalangan wakil rakyat.

Namun Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sidang DUN itu tidak perlu diadakan kerana dewan yang sama telah memutus untuk meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 pada 1993.

Sebelum ini juga Mohd Amar berkata kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu akan membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebena-ran melaksanakan enakmen berkenaan selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Sementara itu mengulas buku setebal 250 muka surat hasil tulisan Habibul Izzah Ahmad itu, Ahmad berkata buku itu adalah sebagai ruju-kan generasi akan datang bagaimana membuktikan seorang ulama mampu menjadi seorang pemerintah.

Buku itu dijual RM30 se-naskhah. — Bernama