Anda di sini

HFH bina 14 rumah dalam enam hari pada 14-19 September

Advertisement

KUCHING: Pada 14 hingga 19 September nanti bakal menyaksikan pembinaan 14 buah rumah berkembar setingkat dalam tempoh hanya enam hari di tanah seluas 1.25 ekar di Jalan Stephen Yong di sini.

Inisiatif itu adalah di bawah program Borneo Blitz Build 2014 yang dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan perumahan berkonsepkan bukan mencari keuntungan, Habitat For Humanity (HFH) Malaysia.

Setiap rumah berukuran 600 kaki persegi, masing-masing dengan tiga bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah dapur dan sebuah bilik mandi itu akan dibina secara kerjasama oleh keluarga pemilik rumah, sukarelawan tempatan dan asing di bawah bimbingan pekerja mahir HFH.

“Borneo Blitz Build adalah satu usahasama. Saya gembira kerana HFH dapat bertindak sebagai pemangkin dan pemudah cara untuk menyatukan rakan korporat, sukarelawan dan komuniti bagi menjayakan projek yang menyediakan perumahan mampu milik yang baik,” kata Presiden HFH Malaysia Cawangan Kuching, Timothy Ngu.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah projek tersebut semalam yang disempurnakan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Turut hadir adalah beberapa tetamu yang mewakili organisasi yang telah memberi sumbangan kepada projek tersebut iaitu Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Naim Holdings Berhad Datuk Abang Abdullah Abang Mohamad Ali, Pengarah Eksekutif Cahaya Mata Sarawak Goh Chii Bing dan Ketua Komunikasi Procter & Gamble Zulhaimi Abdul Hamid.

Penaja korporat lain adalah UGI Products & Bluescope, Amcan Color Coating dan Pengurusan The Spring.

Sehubungan itu, HFH Malaysia akan bekerjasama dengan pejabat HFH di seluruh dunia untuk merekrut sukarelawan dari negara seperti Australia, New Zealand, Singapura dan Amerika Syarikat.

Pejabat HFH tempatan juga akan merekrut sukarelawan tempatan untuk program Borneo Blitz Build 2014 dari 14 hingga 19 September 2014.

Sukarelawan dari semua lapisan masyarakat seperti pelajar, belia, profesional dan pasukan korporat merupakan elemen penting untuk menjayakan projek ini.

Sementara itu, HFH Malaysia Cawangan Kuching turut mensasari kutipan sebanyak RM1.8 juta bagi program Borneo Blitz Build 2014.

Penajaan boleh berbentuk sumbangan kewangan atau barangan seperti bahan binaan dan lain-lain daripada badan korporat mahupun individu.

Pertubuhan dan individu yang ingin memberi sumbangan atau menjadi sukarelawan boleh menghubungi HFH Malaysia Cawangan Kuching menerusi talian 082-242700 atau e-mel ke [email protected].

HFH Malaysia Cawangan Kuching membina rumah pertama di kawasan Penempatan Semula Stampin pada November 1999.

Setakat Disember 2013, sebanyak 126 buah rumah telah dibina di Kuching dengan 58 daripadanya merangkumi kerja membaik pulih manakala 68 daripadanya adalah bina baharu.

Advertisement