Anda di sini

Elak risiko PKR dibatal punca Anwar undur tanding Presiden

Advertisement

KUCHING: Mengelakkan risiko PKR dibatalkan pendaftaran jika dipilih sebagai Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri bertanding jawatan itu pada pemilihan parti kali ini.

Ketua Umum PKR itu semalam berkata, risiko mungkin wujud jika beliau menang menentang penyandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan gagal dalam rayuan kes liwat di Mahkamah Persekutuan.

“Peguam-peguam (saya) kata mungkin (keputusan mahkamah kelak) digunakan untuk membatalkan pendaftaran parti,” katanya pada sidang media di sini sempena lawatannya ke sini.

Susulan keputusan itu, Wan Azizah kekal sebagai Presiden PKR menjelang pemilihan parti mulai 25 April sehingga 11 Mei ini.

Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 7 Mac lalu.

Pada proses pencalonan 29 Mac lalu, Anwar dan Wan Azizah diumumkan sebagai dua calon yang akan merebut jawatan Presiden PKR.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Datuk Johari Abdul mengumumkan penarikan diri Anwar.

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How mengulangi kenyataan parti mereka akan memfailkan semakan undang-undang terhadap larangan masuk beberapa pemimpin pembangkang oleh kerajaan negeri.

Baru-baru ini, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian pernah memberitahu perkara yang sama.

Justeru, Anwar berkata hak imigresen diberikan kepada Sarawak telah disalah guna.

“Kita membantah keras tentang penyalahgunaan kuasa yang diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Advertisement