Anda di sini

Dua pekerja pejabat tanah dituduh terima rasuah RM69,000

Advertisement

JOHOR BAHARU: Seorang penolong pegawai tanah kanan dan seorang pekerja rendah awam Pejabat Pentadbir Tanah Kota Tinggi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan menerima rasuah RM69,000 daripada seorang pengarah syarikat, empat tahun lepas.

Rahmat Abdullah, 51, yang merupakan penolong pegawai tanah kanan didakwa menerima sekeping cek RHB Bank Berhad bernilai RM5,000 daripada Pengarah SaujanaSerangkai Sdn Bhd, Rizam Sahar, 34.

Ia sebagai dorongan kepada Rahmat, membantu syarikat itu mendapat kelulusan permohonan membersih dan mengeluarkan saki-baki kayu di Mukim Sedili Besar, Kota Tinggi.

Rahmat yang kini bertugas di Pejabat Tanah Pontian dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Pizza Hut, Jalan Niaga, Pusat Perdagangan Kota Tinggi, pada jam 2 petang, 12 Julai 2010.

Naf’ Kamarulzaini Atan, 32, yang merupakan pekerja rendah awam pula berdepan empat pertuduhan iaitu menerima empat keping cek RHB, kesemuanya bernilaiRM64,000 daripada Rizam untuk dirinya dan Rahmat sebagai dorongan yang samaantara Mei dan Julai 2010.

Pertuduhan pertama dan kedua melibatkan penerimaan cek bernilai RM45,000 dan RM13,000 didakwa dilakukan di hadapan kedai Elegant Accesories Sdn Bhd, TamanSeraya, Kulaijaya pada jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi, 31 Mei 2010 dan 11 pagihingga 11.20 pagi, 4 Jun 2010.

Pertuduhan ketiga melibatkan penerimaan cek RM3,000 pula didakwa dilakukan di LV Car Wash, Jalan Mawai, Kota Tinggi pada jam 10.30 pagi 18 Jun 2010 manakalapertuduhan keempat melibatkan penerimaan cek RM3,000 didakwa dilakukan di WarungJHLAM, Jalan Mawai, Kota Tinggi pada 10.30 pagi, 8 Julai 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dandenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikutmana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan Rahmat yang mempunyai enam anak, dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Naf’ Kamarulzainiyang mempunyai dua anak, diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dansebutan ditetapkan pada 14 Mei.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa daripada SPRM Ridzuan Abd Malik dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin. — Bernama

Advertisement