Anda di sini

DAP berjaya laksana projek air graviti di Rumah Juing

Advertisement

LIMBANG: Rumah Juing, Rantau Kura, Kuala Mendalam Limbang dipilih sebagai projek perintis di daerah ini bagi Projek Saluran Air Paip Graviti di bawah Program Impian Sarawak di sini baru-baru ini.

Setiausaha DAP Cawangan Limbang Hong Ching Loo berkata, Program Impian Sarawak melebarkan sayapnya ke Limbang dan Rumah Juing merupakan rumah panjang pertama di daerah ini yang menerima bantuan projek DAP.

“Projek bernilai RM60,000 itu dijalankan secara gotong-royong antara penduduk rumah panjang bersama rombongan sukarela dari Semenanjung Malaysia,” katanya di sini, semalam.

Hong berkata, selain Limbang, DAP Sarawak sudah melaksanakan 12 projek sama di beberapa kawasan terpilih di negeri ini.

Katanya, jarak saluran paip air bersih dari bukit seberang sungai berkenaan adalah 5.5 kilometer dari rumah panjang yang mempunyai 34 pintu itu.

Difahamkan, 24 pintu rumah panjang itu menyokong projek DAP dan selebihnya (10 pintu) termasuk tuai rumah menolak projek berkenaan.

“Tuai Rumah Juing pernah membuat laporan polis untuk menghalang DAP menjalankan projek ini, tetapi akhirnya ia disiapkan dengan lancar,” katanya lagi.

Hadir merasmikan projek berkenaan ialah Setiausaha DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling Sie Kiong, Pengerusi DAP Cawangan Senadin Lim Su Kien dan ADUN daripada DAP Pusat iaitu ADUN Jalong Loh Sze Yee dan ADUN Pantai Remis Wong May Ying.

Advertisement