Anda di sini

Bangunan SMK Baru retak topik hangat laman sosial

Advertisement

BINTULU: Keretakan yang dikesan di bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru yang terletak di sebelah Bukit Kemunting antara topik yang hangat dibincangkan dalam laman sosial di sini khususnya ibu bapa yang prihatin dengan keselamatan para pelajar di sekolah itu.

Difahamkan, para pelajar semasa sesi pembelajaran di sekolah itu terkejut apabila mendengar bunyi dentuman diikuti gegaran di blok D bangunan itu kelmarin dan segera memaklumkannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu.

Sumber berkata, ia bukan pertama kali berlaku tetapi beberapa insiden gegaran yang sama turut dirasai oleh para pelajar dan staf sekolah itu tahun ini.

Jurutera JKR Bahagian Wisil Licok semasa dihubungi mengesahkan menerima surat yang memaklumkan kepada mereka mengenai perkara itu kelmarin.

“Kami telah menghantar juruteknik kami ke tapak bangunan itu hari ini (semalam) untuk melakukan penilaian keadaan retakan struktur itu.

Pada masa ini saya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut memandangkan kami masih melakukan kerja pemeriksaan ke atas bangunan terbabit,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof yang turut dimaklumkan mengenai perkara itu melalui Facebook memberi jaminan bahawa perkara itu akan diambil tindakan oleh JKR negeri.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Abdul Mu’in Abdul Kassim yang enggan memberi komen lanjut sehingga keadaan sebenar disahkan berkata, mesyuarat akan diadakan pada hari ini untuk membincangkan perkara berkaitan.

Dalam pada itu, beberapa ibu bapa dalam akaun Facebook mereka menyatakan kebimbangan dengan keadaan keselamatan anak-anak mereka di sekolah setelah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Mereka mencadangkan agar pengurusan sekolah menutup seluruh bangunan sekolah itu untuk sementara waktu dan para pelajar dipindahkan ke tempat lain untuk keselamatan sehingga pemeriksaan lengkap siap dijalankan.

Advertisement