Anda di sini

Anwar fail petisyen rayuan

Advertisement

Tarikh akhir merayu hukuman tuduhan liwat tamat hari ini

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat yang dihadapinya berikutan tarikh akhir untuk merayu tamat hari ini.

Zaleha Al-Hayat, seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, memberitahu pemberita pihak pembelaan akan memfailkan petisyen itu di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Ramkarpal Singh, yang juga peguam bela Anwar, sedang menyediakan petisyen itu berserta alasan rayuan, katanya.

Zaleha berkata firma guaman Karpal & Co kelmarin menghantar surat kepada pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, meminta tempoh dilanjutkan dua minggu untuk memfailkan petisyen itu berikutan kematian peguam utama, mendiang Karpal Singh Khamis lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah telah mengarahkan mereka untuk memfailkan notis usul bagi pelanjutan masa dan bukannya menghantar surat kepada mahkamah.

“Adalah berisiko untuk memfailkan usul kerana wujud selang masa, jadi kami akan memfailkan petisyen sebelum tarikh tamat,” katanya.

Zaleha berkata pihak pembelaan mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas firma itu menerima alasan penghakiman bertulis daripada mahkamah pada 14 April.

Katanya, peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah, yang sebelum ini merupakan peguam utama mewakili Anwar dalam kes liwat itu, akan menyertai semula barisan peguam bela bagi menggantikan mendiang Karpal Singh.

Pada 15 Julai, 2009, semasa kes itu didengar di Mahkamah Tinggi, Sulaiman menarik diri daripada mewakili Anwar atas alasan masalah kesihatan.

Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Rayuan, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan membenarkan Anwar diikat jamin RM10,000. — Bernama

Advertisement