Anda di sini

RM700 juta hasil pengurusan lestari hutan

Advertisement

KUCHING: Sektor perhutanan Sarawak berjaya menjana pulangan RM700 juta setahun hasil peng-urusan lestari hutan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, pengurusan hutan yang lestari dilaksanakan tidak hanya memberi pulangan tinggi tetapi pada masa sama mengekalkan kualiti dan keluasan hutan di negeri ini.

“Kita (kerajaan Sarawak) selalu menegaskan sektor perhutanan di Sarawak melalui proses pembangunan yang lestari kerana kira-kira RM700 juta dapat dijana daripada aktiviti-aktiviti perhutanan setahun tanpa menjejaskan kualiti serta keluasan hutan kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pendidikan Alam Sekitar Untuk Belia ‘Youth Green X-Change’ 2014 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang di sini, semalam.

Menurut Len Talif yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal), pulangan yang tinggi penting kerana untuk melaksana dan mengekalkan status pembangunan lestari memerlukan kos sangat tinggi.

Beliau menambah, selain pulangan atau keuntungan diperoleh penting untuk memastikan pembangunan lestari dapat diteruskan elemen bumi dan komuniti turut memainkan peranan penting.

“Bumi merupakan elemen yang mesti dikekalkan dan dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang dan bagi memastikan bumi kekal terpelihara, komuniti itu sendiri mesti memainkan peranan mereka sebagai pengawasan alam sekitar.

“Setiap daripada kita dalam generasi sekarang khususnya belia mesti memainkan pera-nan penting memastikan kita tidak berhutang kepada generasi akan datang kerana kesilapan dilakukan hari ini,” ujarnya.

Malah, katanya, penglibatan belia dalam program pemeliharaan alam semula jadi pen-ting kerana penyertaaan aktif golongan berkenaan di semua peringkat yang relevan dalam proses membuat keputusan amat penting kerana keputusan-keputusan.

Pandangan dan sumbangan belia, katanya, perlu diambil kira untuk memastikan ke-sinambungan usaha generasi sebelumnya dalam pemeliharaan alam sekitar.

Sebagai golongan yang menuntut di institut pengajian tinggi, ujarnya, belia tidak boleh mengasingkan diri daripada isu alam sekitar walaupun mengkhusus dalam jurusan tertentu.

Ini kerana, katanya, isu alam sekitar bukan lagi isu tempatan, tetapi bersifat global dan merentasi sempadan yang mesti ditangani dengan bijak.

“Sebagai contoh, usaha kita membuka kawasan baharu bagi penanaman kelapa sawit menjadi isu global kerana dibangkitkan oleh NGO asing yang berjuang berlandaskan isu alam sekitar.

“Jadi kita mesti peka dengan apa yang berlaku dan bagai-mana komuniti menilai setiap pembangunan dilaksanakan. Sudah tentu penuntut kita yang sememangnya celik IT boleh memberi respons kepada isu ini dengan bijak,” katanya.

Mengenai program pendidikan alam sekitar itu, Len Talif berkata ia perlu diterus-kan sebagai acara tahunan bagi membekalkan para belia dengan ilmu pengetahuan, kesedaran dan pemahaman dalam isu pembangunan lestari.

Program sedemikian juga, katanya, diharap mampu melahirkan para belia yang dapat memainkan peranan mereka sebagai duta, agen dan pemimpin dalam bidang kelestarian alam sekitar.

“Anda semua mempunyai tanggungjawab bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan memperbaiki lagi polisi yang sedia ada dan strategi ke arah pembangunan lestari di negeri kita untuk kebaikan generasi kini dan akan datang,” kata-nya.

Hadir sama Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Peter Sawal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak Datu Aloysius J Dris, wakil World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) Setiausaha Akademik IPGBL Lai Kim Leong dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak Ruslan Mohamad.

Program sehari yang dihadiri 190 peserta itu dianjurkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dengan kerjasama AZAM Sarawak, WWF- Malaysia, JAS, Sarawak Energy Berhad (SEB), IPGBL dan Trienekens Sarawak Sdn Bhd.

Advertisement