Anda di sini

Pertahankan ‘khazanah kearifan’ Sarawak

Advertisement

 

RASMI: Fatimah memukul gong bagi menyempurnakan majlis pelancaran Program Penerbitan Berpakej Kearifan Tempatan Sarawak 2014 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak di Kuching, malam kelmarin. — Gambar Muhammad Rais Senusi

Lihat konteks keperluan masa depan untuk hasil ilmu baharu yang lebih kontemporari

KUCHING: Sarawak dengan 28 suku kaumnya mempunyai ‘khazanah kearifan’ setempat yang kaya merangkumi bahasa, sastera, budaya, artifak serta kraf dan ia perlu dikaji, dipelihara malah didokumentasi supaya tidak hilang ditelan zaman.

Justeru, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata sudah sampai masanya untuk membina kearifan tempatan dalam kalangan ilmuan tempatan dalam pelbagai bidang yang kreatif mahupun saintifik.

“Umpamanya mengenai bahasa peribumi, budaya, persuratan, kraftangan, kesenian, pertanian, pendidikan, sejarah, adat istiadat, perubatan, muzik, falsafah, psikologi dan pelancongan.

“Segala penemuan, dapatan atau ciptaan oleh tokoh arif tempatan yang berguna kepada orang ramai wajar dipatenkan, ditentukan hak cipta serta hak harta inteleknya supaya ia akan menjadi hak milik masyarakat kita sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Penerbitan Berpakej Kearifan Tempatan Sarawak 2014 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah DBP Sarawak Datuk Dr Awang Sariyan.

Pada masa sama, Fatimah berkata ‘kearifan tempatan’ juga perlu dilihat dalam konteks untuk keperluan masa hadapan bagi menghasilkan ilmu baharu dan menjadikannya lebih kontemporari terutama dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan kearifan yang ada untuk generasi yang akan datang.

“Seperti yang kita maklum, Sarawak merupakan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai khazanah kearifan tempatan yang masih belum banyak diketengahkan dan didokumentasikan untuk tatapan masyarakat di Malaysia dan juga di luar negara.

“Disebabkan itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM215,690 bagi membolehkan DBS Sarawak melaksanakan program berpakej pelestarian Kearifan Tempatan Bahasa Sukuan Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, DBP Sarawak sebagai institusi ilmu boleh memainkan peranan penting dalam menyelidik, mendokumentasi dan menyebarkan ilmu kearifan tempatan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga akan terus memberi sokongan bagi memastikan usaha yang dilakukan DBP Sarawak dapat membawa hasil ke peringkat seterusnya termasuk dunia antarabangsa dengan menunjukkan tentang jati diri bangsa.

Sementara itu, Awang Sariyan berkata dalam kajian DBP, didapati lebih 30 bahasa setempat atau bahasa suku kaum peribumi di negeri ini yang perlu diberikan tumpuan untuk dipelihara sebelum mula mengalami kepupusan seperti yang berlaku pada ribuan bahasa lain di seluruh dunia.

“Untuk itu, DBP telah memulakan Program Penerbitan Berpakej Kearifan Tempatan pada tahun lalu dan setakat ini lebih kurang 100 panel penulis dalam pelbagai bidang termasuk sastera atau penulisan kreatif sudah mula bekerja secara bersama dengan editor DBP,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat menghargai sokongan dari segi kewangan yang diberikan kerajaan negeri terhadap usaha terbabit yang dijangka akan membantu DBP menerbitkan banyak buku ilmuan dan mencapai sasaran menerbitkan 30,000 buku baharu menjelang 2020.

Advertisement