Anda di sini

Naib canselor dan rektor IPTA diminta teliti laporan ketua audit negara

Advertisement

PUTRAJAYA: Naib canselor dan rektor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diminta meneliti dengan serius laporan dan teguran Ketua Audit Negara untuk meningkatkan kecekapan pengurusan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Teguran ini perlu dijadikan panduan dan iktibar dalam mengurus IPTA masing-masing,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan semasa berucap sebelum mempengerusikan mesyuarat dengan Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor IPTA di sini semalam.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lepas antara lain menegur Kementerian Pendidikan berhubung dana penyelidikan asas untuk menghasilkan teori, konsep dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan dibelanjakan namun tidak ada kajian yang dihasilkan.

Kementerian itu juga diminta memberikan penjelasan tentang pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tidak mengikut spesifikasi dan tidak mendapat sijil layak menduduki.

Pada mesyuarat itu, Muhyiddin juga meminta naib canselor dan rektor IPTA memberi tumpuan kepada aspek kemampuan dan kemapanan kewangan universiti masing-masing.

Beliau berkata perkara itu perlu untuk memastikan IPTA mampu menghadapi persaingan sengit dalam ekosistem pengajian tinggi masa kini.

IPTA juga, katanya, perlu mempunyai kerangka kewangan yang lebih praktikal dan tidak bergantung kepada geran pembangunan dan operasi kerajaan semata-mata.

Justeru itu, beliau amat mengalukan-alukan segala pandangan bernas dan idea dapat diberikan dalam usaha untuk memajukan pendidikan tinggi negara.

Naib canselor dan rektor juga digesa bekerjasama dengan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi Negara (AKEPT) dan Jabatan Pengajian Tinggi dalam menyediakan pelan penggantian di IPTA.

IPTA, katanya, boleh mengenal pasti pensyarah yang berpotensi serta berkemahiran untuk memimpin IPTA masing-masing dan mengemukakan calon menjalani latihan di AKEPT.

“Melalui latihan itu IPTA akan mempunyai barisan kepimpinan pelapis yang berkeupayaan dan bersedia untuk menerajui universiti di masa akan datang,” katanya.

Mengenai Rancangan Malaysia ke-11 pula, beliau berkata kerajaan sedang dalam proses mendapatkan input semua sektor ekonomi dan bekerjasama dengan fokus group berkaitan.

Justeru itu idea yang membina daripada naib canselor dan rektor dalam penyedian input amat dialu-alukan, katanya. — Bernama

Advertisement