Anda di sini

Mimpi ngeri warga Ireland diragut

Advertisement

KUCHING: Seorang pelancong wanita warga Ireland menganggap per­cutiannya di negeri ini sebagai mimpi ngeri apa­bila beg tangannya diragut dua lelaki bermotosikal, petang kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 26 tahun itu semasa kejadian berjalan seorang diri di Lebuh Wayang di sini sebelum dia didatangi dua lelaki yang menungang sebuah motosikal sekitar jam 6.30 petang.

Difahamkan, mangsa yang tidak mengendahkan kehadiran kedua-dua lelaki berkenaan terkejut apabila beg tangannya diragut.

Mangsa cuba mendap­atkan bantuan daripada orang awam namun in­siden tersebut berlaku terlalu pantas dan tiada seorang pun berjaya me­nahan suspek yang me­mecut lari dari tempat kejadian.

Antara yang terkand­ung di dalam beg tangan mangsa adalah sebuah telefon pintar (iPhone4), wang tunai RM500 ser­ta mata wang asing, jam tangan berjenama dan beberapa dokumen peribadi.

Laporan polis ber­hubung kejadian telah dibuat oleh mangsa di balai polis berhampiran.

Siasatan lanjut oleh pihak polis masih giat dijalankan.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, dua adik-beradik hanya mam­pu melihat dua peragut melarikan diri bersama beg tangan mereka di ha­dapan sebuah kedai makan di Jalan Canna di sini awal, pagi semalam.

Kedua-dua mangsa yang berusia 39 dan 36 tahun itu semasa kejadian baharu selesai bekerja di mana seorang daripada mereka sedang menutup kedai tempat mereka bekerja sekitar jam 12.30 pagi.

Difahamkan, seorang lelaki tidak dikenali telah menghampiri si kakak dan terus meragut beg tangan­nya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah motosikal yang ditung­gangi seorang lagi lelaki.

Kedua-dua mangsa yang terkejut dengan perkara tersebut tidak sempat membuat apa-apa dan hanya melihat sahaja peragut berkenaan melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian dan siasatan polis masih di­jalankan.

 

Advertisement