Anda di sini

Loji fitonutrien pertama dibina di Tanjung Kidurong

Advertisement

BINTULU: Industri minyak kelapa sawit di negeri ini maju selangkah lagi ke hadapan dengan pembinaan loji fitonutrien pertama di Tanjung Kidurong oleh Sarawak Greeb Energy Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat, Sarawak Oil Palms Berhad (SOPB).

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan siapnya loji itu nanti akan membolehkan pengeluaran lebih banyak minyak sawit berkualiti tinggi sekali gus membantu dalam mempelbagai produk kelapa sawit.

“Minyak kelapa sawit mempunyai pelbagai kegunaan iaitu produk dapat dihasilkan daripadanya dan pembinaan loji fitonutrien di Bintulu adalah sebagai tepat pada masanya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Tapak Pelan Fitonutrien di Kawasan Perindustrian Kidurong Fasa 2, di sini pagi semalam.

Katanya, kementeriannya amat yakin bahawa pembinaan loji itu akan memperhebat industri hiliran lain di negeri ini terutama produk berasaskan kelapa sawit.

“Kerajaan menyambut baik usaha pengusaha industri kelapa sawit di negeri ini yang menyokong industri ini serta membuat penambahbaikan terhadapnya dari semasa ke semasa bagi memastikan industri terus berkembang maju,” jelasnya.

Bagi tujuan itu, kerajaan mengagihkan belanja tambahan sejumlah RM15.3 juta bagi menyokong usaha menjayakan projek pembinaan loji fitonutrien dengan kos RM80 juta.

“Usaha drastik ini merupakan pelan jangka panjang membantu industri kelapa sawit di negeri ini tatkala industri ini mendapat persaingan hebat dari negara-negara jiran yang turut mengeluarkan hasil kelapa sawit di pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Secara amnya, loji fitonutrien dibina bersebelahan SOP Edible Oils dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2015 nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia Palm Oil Board (MPOB) turut menandatangani perjanjian persefahaman perniagaan dengan Adeka Food (Asia) Sdn Bhd dan Felda Global Ventures Holding Bhd.

Hadir sama Pengurus Eksekutif Kumpulan SOPB Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho, Ketua Pegawai Eksekutif SOP Paul Wong Hee Kwong dan Ketua Pegawai Operasi SOP, Eric Kiu Kwong Seng.

Advertisement