Anda di sini

Kes cerai bekas Ratu Cantik Malaysia dikembalikan ke Mahkamah Tinggi KL

Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang bekas Ratu Cantik Malaysia semalam gagal menangguhkan perlaksanaan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan suaminya jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng supaya petisyen perceraian mereka didengar di mahkamah sivil di Malaysia.

Panel Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menolak rayuan  Pauline Chai Siew Phin untuk menangguhkan perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Dis tahun lepas yang membenarkan permohonan Khoo untuk tidak merujukkan kes perceraian mereka ke tribunal perkahwinan di London.

Turut bersidang bersama-sama Mohamad Ariff ialah Datuk Mah Weng Kwai dan  Datuk David Wong Dak Wah.

Bagaimanapun, panel memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membuat keputusan berhubung isu status mastautin kedua-dua pihak (Chai dan Khoo).

Ia juga mengeluarkan perintah bahawa Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan berhubung bidang kuasa mahkamah mana yang akan mendengar kes perceraian itu.

Wong, yang membacakan penghakiman bertulis itu, juga memerintahkan dua isu itu diputuskan oleh hakim baharu Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata panel berpendapat hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan Khoo telah terkhilaf semasa membuat keputusan berhubung isu status mastautin kerana terlalu banyak pertikaian berhubung fakta itu.

Pada 11 Dis tahun lepas, Hakim Mahkamah Keluarga Datuk Noraini Abdul Rahman membenarkan permohonan Khoo untuk tidak merujukkan kes perceraian mereka ke tribunal perkahwinan di London.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Chai, 67, merupakan Ratu Cantik Malaysia/Antarabangsa 1969, membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Peguam K. Shanmuga yang mewakili Chai memberitahu pemberita, anak guamnya itu tidak lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980 dan sehingga sekarang tinggal di England.

“Oleh itu, anak guamnya itu berkata kes perceraian itu patut diputuskan Mahkamah Britain,” katanya.

Pada Februari tahun lepas, Chai memfailkan petisyen perceraian di mahkamah di London memohon harta sepencarian 500 juta pound (kira-kira RM2.75 bilion).

Chai juga pernah memenangi beberapa lagi pertandingan ratu cantik termasuk Miss Princess Malaysia 1969 dan Miss Tourism Penang 1969. Pasangan itu berkahwin pada 1970 dan mempunyai lima anak.

Khoo, yang diwakili peguam Y. N. Foo, ketika ini tinggal di Ampang, Kuala Lumpur.

Khoo merupakan pengerusi syarikat pelaburan antarabangsa, Malayan United Industries Bhd yang terbabit dalam bidang runcit, hotel, makanan dan kek, perkhidmatan kewangan dan hartanah.

Sementara itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghilangkan sepucuk pistol jenis ‘Walter P99 serta sepuluh butir peluru tahun lepas.

Mohd Zainul Akramin Mohd Zain, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah

Cheras ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan, Lebuhraya Taman Connaught di sini pada jam 2.30 pagi 31 Mei 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 35 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement