Anda di sini

KDN tumpu tiga elemen keselamatan

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri memberi tumpuan kepada tiga elemen dalam usaha menangani isu keselamatan terkini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata elemen pertama adalah maklumat mencukupi kerana tanpanya  sesuatu tindakan sukar dilakukan manakala keduanya adalah komitmen terhadap tugas oleh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Elemen yang ketiga adalah aset dan peralatan…tiga elemen ini sangat penting dan bergantung antara satu sama lain dan kita di Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan kepada tiga elemen ini dalam melunaskan penguatkuasaan undang-undang dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas ceramah bertajuk ‘Cabaran Keselamatan Awam Masa Kini’ disampaikan Felo Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) yang juga bekas Ketua Polis Negara Tun Mohd Hanif Omar anjuran IPSOM di KDN di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sementara itu mengenai penahanan pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Awam Syiah Imamiyyah (Ja’fari) Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz kelmarin, Ahmad Zahid berkata Mohd Kamilzuhairi ditahan untuk disoal siasat kerana pertubuhan itu tidak berdaftar dan dengan itu majlis dianjurkan pertubuhan itu adalah tidak sah.

“Persatuan berkaitan syiah tidak pernah didaftarkan maka apabila sesuatu pertubuhan atau persatuan itu tidak pernah didaftarkan maka majlis yang dilakukan juga haram,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 3,000 pengikut syiah di Malaysia.

Semalam Mohd Kamilzuhairi ditahan polis di Taman Sri Gombak selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) membuat laporan polis berhubung kewujudan Ja’fari yang tidak berdaftar sebagai sebuah pertubuhan. — Bernama

Advertisement