Anda di sini

JPNIN diminta perluaskan peranan KRT: Abdul Wahab

Advertisement

SARATOK: Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) diminta memperluas peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bawah agensi itu di DUN Kalaka khususnya di daerah Saratok.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata KRT memainkan peranan penting sebagai satu agensi yang banyak membantu dan meningkatkan perpaduan kalangan penduduk di sini tidak terkecuali peranan dilakukan di kawasan luar bandar.

“Kita melihat sendiri peranan yang dibawakan oleh KRT dan beberapa buah kampung di Saratok juga menubuhkan KRT tetapi saya mahu lebih banyak KRT untuk kita terus memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan.

“Apabila KRT diwujudkan di satu-satu kawasan maka penduduk boleh datang kepada mereka untuk mengetengahkan apa juga masalah terutama yang melibatkan keselamatan,” katanya pada Program Jom Ronda dan Majlis Pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS) Daerah Saratok di Gelanggang LAKIS, di sini kelmarin.

Mengulas mengenai program terbabit, Abdul Wahab menjelaskan SRS adalah sebahagian daripada pelan kerajaan untuk mencegah kegiatan jenayah di kawasan kediaman penduduk.

“Saya percaya dan yakin kes-kes jenayah seperti ragut, kecurian, pecah rumah dan sebagainya dapat dikurangkan jika SRS diwujudkan di kawasan RT yang mempunyai kepadatan penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, masyarakat perlu komited dan melibatkan diri secara aktif dalam SRS kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka sebaliknya kepada kawasan kejiranan.

“Ramai penduduk mengidamkan kawasan kediaman mereka aman dan tenteram, namun jika mereka tidak terlibat sama dalam pencegahan jenayah maka penubuhan SRS tidak bermakna,”jelasnya.

Menurutnya, tugas mencegah jenayah bukan hanya terletak di tangan pihak polis sebaliknya campur tangan masyarakat setempat amat ditagih khasnya dalam penyaluran maklumat.

“Polis dan SRS akan bekerjasama antara satu sama lain dan penduduk di kawasan kejiranan terbabit boleh melaporkan kejadian jenayah kepada petugas keselamatan yang bertugas,”ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai JPNIN Betong Mujahid Mohamad berkata melalui penubuhan SRS ini indeks jenayah dan gejala sosial telah dapat dikurangkan.

Menurut beliau, SRS yang ditubuhkan di kawasan kampung akan melakukan aktiviti meronda secara sukarela dalam usaha membanteras jenayah dan gejala sosial.

“Semangat sukarela harus disemai dalam diri masyarakat bagi usaha memastikan keamanan dan keselamatan kampung terus terpelihara.

“Dengan adanya SRS dapat membantu pihak polis untuk menjaga keamanan dan keselamatan kampung-kampung,” katanya.

Jelas Mujahid, beliau meminta semua pihak agar jangan memandang rendah peranan anggota SRS dalam masyarakat.

“Anggota SRS memainkan peranan yang amat mulia iaitu sama seperti perkhidmatan awam yang lain dengan membantu tugas-tugas am polis,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Wahab turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM13,500 kepada lima KRT di daerah Saratok.

Turut hadir Pegawai Daerah Saratok Mohamad Ikhmal Abdullah, Ketua Polis Daerah Saratok DSP Lee Thai Lien, Pemanca Sahari Ghani, Penghulu Rajali Bujang serta jemputan lain.

Advertisement