Anda di sini

Catuan air diteruskan berikutan Empangan Sungai Selangor kritikal

Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneruskan catuan air berikutan paras air di Empangan Sungai Selangor berada pada tahap kritikal dan bekalan air yang ada hanya mampu bertahan 29 hari lagi, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata sehingga 20 April, empangan itu mencatat paras air 89.29 juta meter padu atau 38.82 peratus berbanding 235.32 juta meter padu jika ia penuh.

“Berikutan itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) pada masa ini sedang giat meneroka kolam-kolam bekas lombong terutama di kawasan lembangan Sungai Selangor bagi tujuan mengepam air mentah dari kolam takungan bekas lombong ke Sungai Selangor.

“Dengan cara ini, pelepasan air dari empangan Sungai Selangor dapat dikurangkan dan air di empangan mampu bertahan lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Baca Selama 10 minit di Perpustakaan Tun Uda di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengenal pasti untuk membeli pam berbanding menyewa alat itu daripada pihak luar kerana ia lebih menjimatkan.

Abdul Khalid berkata, LUAS dan Jabatan Peng-airan dan Saliran (JPS) pada masa ini turut menjalankan aktiviti mengepam air sungai hasil hujan lebat di hilir untuk ditakungkan ke kolam-kolam sekitar Empangan Sungai Selangor untuk digunakan pada musim kering nanti.

Selain itu, kaedah pembenihan awan dikenali sebagai ‘royal rain making techno-logy’ juga akan digunakan untuk mendapatkan hujan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di negeri ini.

“Kita jangka usaha-usaha itu akan dapat menghasilkan kira-kira 1,000 JLH (juta liter sehari) air mentah dan jika petunjuk pelaksanaan positif dalam tempoh seminggu, kerajaan negeri bersedia mengkaji semula keputusan catuan air ini,” tambahnya. — Bernama

Advertisement