Anda di sini

257 saman dikeluarkan dalam operasi bersepadu di Melaka

Advertisement

KUANTAN: Sebanyak 257 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan pelbagai agensi penguat kuasa di Kilometer 19 Jalan Kuantan-Pelabuhan dekat sini, malam kelmarin.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata, operasi tiga bermula 9 malam itu melibatkan 73 anggota termasuk 13 pegawai dari pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen negeri.

“Kesalahan yang dikesan termasuk memandu melebihi had laju, tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, menggunakan nombor plat tidak dibenarkan, tiada cermin sisi dan lampu brek tidak berfungsi.

“Kita juga turut menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas 16 pengguna jalan raya dan hasilnya empat daripada mereka didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, Jabatan Imigresen negeri pula berjaya menahan 16 termasuk tujuh wanita warga Vietnam kerana didapati tinggal melebihi had masa dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen Sek 6 (1)(c) Akta Imigeresen.

JAS pula katanya turut memeriksa 250 buah kenderaan dengan enam daripadanya diarahkan menjalani ujian asap sementara dua kenderaan dikenakan kompaun kerana mengeluarkan asap melebihi had ditetapkan.

Sementara JPJ, menjalankan pemeriksaan ke atas 80 buah kenderaan dan daripada jumlah itu 42 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut melakukan pemeriksaan ke atas 32 kenderaan perdagangan dan telah mengeluarkan empat notis saman.

Katanya, agak mengecewakan kerana masih ada pemandu dan penunggang tidak pernah serik melakukan kesalahan jalan raya walaupun tindakan penguatkuasaan berterusan dijalankan pihak berkuasa. — Bernama

Advertisement