Anda di sini

Sarawak tampil 21 perenang pada kejohanan kebangsaan

Advertisement

KUCHING: Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) menghantar 21 perenang untuk menyertai Kejohanan Renang Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Negara, Bukit Jalil pada 8 hingga 11 Mei depan.

Pasukan Sarawak merangkumi 11 perenang lelaki termasuk perenang kebangsaan, Daniel Bego dan 10 perenang wanita.

“Kita akan menghantar semua perenang SUKMA XVII untuk kejohanan kebangsaan itu dan merupakan sebahagian persiapan menghadapi SUKMA di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun depan,” kata Presiden ASAS, Datuk Wee Hong Seng.

Beliau berkata, jawatankuasa baharu persatuan mempunyai tugasan untuk memastikan Sarawak memberi cabaran bagi memperolehi 36 emas yang ditawarkan dalam acara renang pada SUKMA XVII di Perlis nanti.

Dengan tugas berat itu, ASAS akan mengumpul semua perenang SUKMA XVII di Kuching untuk mengikuti latihan pusat bermula minggu depan di Pusat Akuatik Kompleks Belia dan Sukan.

“Kita juga akan memohon kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi mendapat geran lebih besar untuk melantik jurulatih dan pakar teknikal, terutama apabila Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA dua tahun akan datang,” ujar Wee.

Menurutnya, pasukan renang negeri mencapai keputusan terbaik pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia PRAM Milo Ke-50 apabila membawa pulang 13 pingat emas, 20 perak dan 18 gangsa.

Sarawak menduduki tempat keempat keseluruhan selepas Hong Kong, Selangor dan Kuala Lumpur pada kejohanan ber langsung pada 10 hingga 13 April menyaksikan perenang dari Filipina, Singapura, Indonesia, Thailand dan India juga mengambil bahagian.

Selain itu, per enang Sarawak memecahkan lima rekod manakala empat lagi layak menyertai kejohanan renang kumpulan umur Sukan SEA di Singapura pada Jun dan tiga perenang layak ke Sukan Olimpik Belia di Nanking, China.

Perenang layak ke Sukan Olimpik Belia ialah Erika Kong, Welson Sim dan Vernon Lee manakala Welson Sim, Angela Chieng, Tan Chong Heng dan Nee Gui Ping layak ke Kumpulan Umur Sukan SEA Singapura.

Advertisement