Anda di sini

Sambutan luar jangkaan: Maximus

Advertisement


MAXIMUS melancarkan simbolik perasmian sambil diperhatikan Loo (kiri), Yee (tengah) dan Badriyah (dua kanan).

Ramai menunjukkan minat untuk mendapat kemudahan solar PV

KOTA KINABALU: Sambutan yang diterima bagi Tarif Galakan (FiT) kuota Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk sumber solar PV melebihi jangkaan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, berdasarkan sesi taklimat FiT yang diadakan sebelum ini, ramai yang menunjukkan minat untuk mendapat kemudahan solar PV berbanding sumber tenaga lain yang ditawarkan.

Katanya, peruntukan khusus untuk solar PV kategori individu bagi negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah dua Megawatt (MW) daripada 10 MW.

“Bagi kategori solar PV bukan individu pula, sebanyak 10 MW diperuntukkan bagi kapasiti kurang daripada 425 kW dan 15 MW lagi untuk kapasiti melebihi 425 kW hingga satu MW.

“Daripada jumlah berkenaan, lima MW dikhaskan untuk Sabah dan Labuan,” katanya pada majlis perasmian Pejabat Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (Seda) Cawangan Sabah di Likas Square, di sini kelmarin.

Menurutnya, Seda Malaysia turut menyediakan kategori baharu sumber solar PV sebanyak lima MW untuk kategori solar PV komuniti.

Ia katanya, bagi memberi peluang kepada institusi tertentu seperti rumah kebajikan dan rumah ibadat untuk menyertai mekanisme FiT.

“Kuota TBB untuk FiT yang dibuka pada 2 Mei depan menawarkan sebanyak 65MW secara keseluruhan dengan pecahan sebanyak 10MW untuk biogas, 15 MW untuk biojisim dan 40MW untuk solar PV.

“Selaras dengan pembukaan kuota berkenaan, permohonan FiT solar PV untuk kategori bukan individu berkapasiti lebih daripada 425kW hingga satu MW perlu dihantar secara manual.

“Ia bagi menjamin kesaksamaan pemberian kuota kepada semua pemohon. Seda juga mengadakan sesi latihan penggunaan sistem FiT untuk negeri Sabah,” jelasnya.

Pihaknya juga akan berbincang dengan pihak bank yang menyediakan perkhidmatan pinjaman bagi membantu pemohon yang berminat mendapatkan kemudahan FiT.

Setakat ini di Semenanjung jelasnya, sebanyak tiga institusi kewangan iaitu Bank Mualamat, Bank Alliance dan Eon Credit bersetuju menyediakan pinjaman.

Justeru, pihaknya berharap perkhidmatan yang sama dapat disediakan pihak berkenaan untuk pemohon di Sabah.

Maximus berkata, pembukaan pejabat Seda Cawangan Sabah adalah selaras dengan penyertaan negeri ini dalam FiT.

“Saya percaya pejabat cawangan ini akan mempergiatkan lagi usaha mempromosi dan pembangunan TBB.

“Ia adalah ruang pejabat berkeluasan 1,182 kaki persegi yang berpotensi untuk mencapai penjimatan penggunaan tenaga lebih 40 peratus berbanding pejabat biasa dengan keluasan yang sama.

“Ini kerana, penyiapan usaha retrofitnya mengambil kira aspek penggunaan tenaga cekap dan sekali gus menjadi contoh kepada pejabat kerajaan negeri Sabah dan Labuan,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Seda Malaysia Datuk Dr Yee Moh Chai; Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Loo Took Gee; dan Ketua Pegawai Eksekutif Seda Malaysia Datin Badriyah Abd Malek.

Advertisement