Anda di sini

Polis tahan 12 lelaki warga asing, rampas 6 motosikal

Advertisement

Seorang anggota JSJ menunjukkan enam motosikal yang dirampas.

LAHAD DATU: Polis menahan 12 lelaki warga asing serta merampas enam motosikal yang dipercayai dicuri dalam serbuan menerusi Ops Lejang dan Ops Pintu, di sini malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Shamsudin Mat berkata, tangkapan dan rampasan itu dilakukan oleh sepasukan 13 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Lahad Datu, diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, ASP Ladamah Hj Sulaiman, semasa menyerbu sebuah rumah kongsi ladang persendirian di Jalan Tengah Nipah.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, kesemua suspek yang berusia 20 hingga 50 tahun itu berjaya ditahan di lokasi terbabit kira-kira jam 11.30 malam.

“Berdasarkan siasatan, kesemua yang ditahan itu adalah warga Filipina yang mana empat daripadanya adalah pemegang pasport.

“Sebaik menyedari kehadiran polis di lokasi berkenaan, beberapa suspek juga dikatakan cuba meloloskan diri, namun hasrat mereka gagal apabila berjaya diberkas,” katanya.

Shamsudin berkata, polis turut berjaya merampas enam buah motosikal yang disimpan di bawah rumah dan disembunyikan di dalam garaj.

“Hasil siasatan awal, kita mendapati tiga daripada motosikal itu adalah motosikal yang dilaporkan hilang pada tahun 2013 manakala selebihnya masih dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa balik ke IPD untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya lagi, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.

Sementara itu, Shamsudian mengingatkan anggota masyarakat khususnya di daerah ini supaya tidak membeli kenderaan atau harta curi bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak atau individu yang memiliki barangan curi, kerana itu adalah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Katanya, dengan penemuan semula enam buah motosikal itu, menjadikan jumlah keseluruhan motosikal yang berjaya ditemui semula adalah sebanyak 18 buah sepanjang tempoh bulan April ini.

Sehubungan itu katanya, Ops itu juga akan dilakukan dari masa ke semasa bagi terus menumpaskan kegiatan sindiket mencuri motosikal di daerah ini.

Advertisement