Anda di sini

Penerbangan MH192 berlepas ke Bangalore dengan pesawat lain

Advertisement

SEPANG: Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH192 yang tergendala akibat pendaratan cemas awal pagi semalam, berlepas semula menuju ke Bangalore, India, menggunakan pesawat lain.

Menurut jurucakap MAS, kesemua 159 penumpang itu berlepas ke Bangalore pada jam 3.30 petang semalam dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Penumpang yang tiba di balai berlepas KLIA dua jam awal, menunjukkan reaksi tenang dan memberi respons baik terhadap soalan wartawan yang menunggu ketibaan mereka.

Mereka sebelum ini ditempatkan di beberapa hotel sekitar Sepang dan Putrajaya, selain sentiasa diiringi petugas-petugas MAS bagi membantu urusan mendaftar masuk.

Pesawat MH192 dijangka mendarat di Bangalore pada jam 5 petang (waktu India).

Penerbangan asal MH192 berlepas dari KLIA pada jam 10.09 malam kelmarin tetapi terpaksa berpatah balik kerana berdepan masalah kerosakan gear selepas tayarnya pecah. Ia selamat melakukan pendaratan cemas di KLIA pada 1.56 pagi semalam.

Pesawat itu membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal.

Sementara itu, ahli perniagaan Parkash GC Jane, 38, berkata kru MAS mengendalikan keadaan cemas itu dengan baik dan menambah syarikat penerbangan itu menyediakan penginapan sementara penumpang terbabit menunggu penerbangan berikutnya ke Bangalore.

“Saya dalam perjalanan atas urusan perniagaan bersama keluarga saya apabila insiden ini berlaku. Tapi kru MAS sangat profesional.

“Saya ingin menyatakan masalah seperti ini boleh berlaku kepada mana-mana syarikat penerbangan,” katanya dan menambah beliau tentunya akan mengunjung Malaysia lagi.

Pelajar Sagar Shankar, 18, berkata tahap profesionalisme yang dipamerkan kru penerbangan dalam mengendalikan keadaan cemas berjaya mengelak panik dalam kalangan penumpang.

“Cara juruterbang mengendalikan keadaan sangat penting dan dalam insiden ini, beliau begitu tenang dan kata-kata yang diungkapkannya tidak pernah mengecewakan kami,” katanya.

Dev Charan, 11, memuji kru penerbangan kerana menenangkannya ketika melalui detik cemas itu.

“Saya gembira kapal terbang mendarat dengan selamat pagi ini (semalam). Sekarang saya dan keluarga akan pulang. Terima kasih MAS,” katanya. — Bernama

Advertisement