Anda di sini

Lelaki tempatan maut dalam kemalangan

Advertisement

MAYAT mangsa ditutup selepas kejadian itu.

KENINGAU: Seorang lelaki tempatan yang bekerja sendiri maut apabila kenderaan yang dipandunya terbalik dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bunsit-Bingkor berhampiran Kampung Tuntumulud, di sini petang Ahad lepas.

Sementara itu, empat penumpang kenderaan itu hanya mengalami cedera ringan sahaja.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Robert Salisip @David berkata, mangsa yang dikenali Endy Paulus, 34, berasal dari Kampung Bandukan Baru Bingkor, mati di tempat kejadian dalam kejadian jam 4 petang itu.

Katanya, polis yang menerima maklumat dari orang awam mengatakan berlaku kemalangan maut di kawasan Kampung Tuntumulud Bingkor.

“Siasatan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Ford yang dipandu oleh mangsa dari arah Bunsit ke Pekan Bingkor.

“Tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan semasa melalui selekoh dan terbalik di tebing sebelah kanan jalan,” katanya.

Robert berkata, mangsa tercampak keluar dan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Katanya, empat penumpang yang bersama mangsa berumur 24 hingga 33 tahun dan merupakan adik dan saudaranya hanya mengalami cedera ringan.

“Sebelum kejadian mangsa bersama adik dan saudaranya mandi di Sungai Bunsit dan kejadian itu berlaku semasa dalam perjalanan pulang,” katanya.

Robert berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.

Menurut beliau, kemalangan sendiri itu tidak melibatkan lain-lain kenderaan dan siasatan masih lagi diteruskan.

Advertisement