Anda di sini

Kecekapan juruterbang MH192 dipuji

Advertisement

SEPANG: Rata-rata penumpang pesawat Malaysia Airlines MH192 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini memuji kecekapan juruterbangnya melakukan pendaratan dengan baik dan lancar.

Masluhuddin Khan, 30-an, warga Australia berketurunan India berkata walaupun ini merupakan detik yang agak menakutkan dalam hidupnya namun juruterbang MAS melakukan pendaratan dengan baik sekali.

Malah juruterbang itu memaklumkan kepada penumpang melalui sistem interkom setiap 20 minit mengenai langkah dan tindakan yang diambil olehnya semasa berlegar-legar di ruang udara selama empat jam, katanya.

“Semua penumpang tenang sahaja di dalam pesawat, semuanya dalam keadaan baik di dalam kabin,” katanya semasa ditemui pemberita.

Masluhuddin ditemui bersama 159 penumpang dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Pengarah Urusan Malaysia Airports Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya di bangunan satelit KLIA.

Kebanyakan penumpang menunjukkan reaksi tenang dan senang untuk ditemu ramah pemberita.

Kapal terbang itu dikemudi Kapten Nor Adam Azmi dan dibantu pembantu juruterbang Prakash Kumar.

Pesawat MH192 itu dalam perjalanan ke Bangalore, India ketika berpatah balik selepas menghadapi masalah gear pendaratan dan selamat mendarat di KLIA kira-kira jam 1.56 pagi.

Goorau Pouri, 31, berkata gegaran dapat dirasai di dalam pesawat ketika masih berada di kawasan landasan.

“Saya sedar ada sesuatu yang tidak kena kerana terdengar beberapa bunyi tetapi kapten menangani keadaan dengan baik sekali,” katanya.

Pouri, warga Sweden,  berkata kapal terbang itu berlegar-legar selama empat jam di Selat Melaka sebelum mendarat lancar.

“Saya mahu memeluk juruterbang itu jika saya berpeluang berbuat demikian,” katanya.

Pengurus Penyelidikan Van Diemen John, 40-an, berkata juruterbang pesawat MH192 itu amat profesional ketika mengendalikan pendaratan.

“Juruterbang itu begitu tenang ketika beliau mengumumkan bahawa kami terpaksa berpatah balik ke KLIA tetapi perlu menghabiskan sebahagian minyak dahulu.

“Kami berlegar-legar di Selat Melaka dan Kuala Lumpur. Beberapa jam kemudian kami mendarat dengan selamat.

“Beliau memberikan arahan dengan jelas. Beliau amat profesional dan melakukannya dengan baik,” kata John yang terbang dari Shanghai untuk ke Bangalore berjumpa dengan pasukan penyelidiknya. — Bernama

Advertisement