Anda di sini

Besi sedalam lima inci tembus pipi kanak-kanak

Advertisement

ANGGOTA bomba berhati-hati membawa mangsa yang cedera akibat tercucuk besi di pipi.

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan di muka selepas sebatang besi sepanjang lima kaki menembusi pipinya sedalam lima inci dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di sini kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa Leinus David, 10, dikatakan sedang menunggu bas di kawasan parkir berhampiran sekolah terbabit selepas tamat waktu sekolah jam 12.40 tengahari.

Ketika menuju ke kawasan parkir itu, Leinus terpijak besi penghalang parit yang sudah tercabut dan menyebabkannya gagal mengimbangkan badannya.

Akibatnya, besi terbabit tercucuk ke pipinya hingga sedalam lima inci di sebelah kanan mukanya.

Beberapa ibu bapa pelajar yang kebetulan berada di tempat kejadian segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat sementara mangsa hanya duduk ketakutan di tepi parit itu.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba segera membawa mangsa yang masih tercucuk besi ke hospital kira-kira jam 1.20 petang.

Dilaporkan, selepas dicabut, besi berkenaan meninggalkan lubang sedalam satu sentimeter di bahagian pipi mangsa.

Sementara itu, cikgu sekolah berkenaan berkata, pelajar perlu menunggu di kawasan sekolah sementara menunggu ibu bapa atau bas sekolah datang.

Menurutnya, pelajar tidak digalakkan berada di luar kawasan sekolah selagi ibu bapa atau bas sekolah belum datang mengambil mereka.

Katanya, Leinus adalah seorang pelajar yang baik dan tidak ada masalah disiplin.

Pada masa sama, besi penghalang parit itu juga segera dipindahkan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Advertisement