Anda di sini

Selamat jalan ‘Tiger of Jelutong’

PENGHORMATAN TERAKHIR: Tun Abdul Rahman dan Toh Puan Hajah Majimor bersalaman dengan anak-anak mendiang bekas pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh semasa memberi penghormatan terakhir di Dewan Sri Pinang di George Town, semalam. — Gambar Bernama

Lebih 10,000 orang beri penghormatan terakhir kepada Karpal Singh

GEORGE TOWN: Selamat jalan Karpal Singh.

Jeritan dalam bahasa Punjabi ‘Karpal Singh’ dan ‘Sat Sri Akaal’ (yang memuji kebesaran Tuhan) bergema ketika keranda ‘Tiger of Jelutong’ itu dibawa ke tempat pembakaran di Krematorium Batu Gantung di sini semalam.

Tangisan anggota keluarga terdekat yang tidak dapat menahan kesedihan turut kedengaran ketika upacara pembakaran mayat bermula jam 2.45 petang dan berakhir jam 3.10 petang.

Difahamkan anggota keluarga Karpal Singh akan mengambil abu mayat mendiang untuk ditaburkan ke laut hari ini.

Karpal Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 39, maut dalam kemalangan pada jam 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar.

Upacara pembakaran mayat Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dihadiri ribuan manusia terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama yang membanjiri perkarangan pusat krematorium itu seawal jam 10 pagi.

PENGEBUMIAN: Orang ramai mengiringi van membawa jasad mendiang Karpal Singh melalui Lebuh Farquhar menuju ke Jalan Batu Gantong untuk upacara pengebumian. — Gambar Bernama

Kenderaan MPV yang membawa jasad mendiang bekas pengerusi DAP itu dari Dewan Sri Pinang itu bermula pada jam 11.30 pagi dan tiba di Krematorium Batu Gantung pada jam 1.30 tengah hari.

Perjalanan terakhir ‘Tiger of Jelutong’ dari dewan tersebut ke Krematorium Batu Gantung diiringi ribuan orang awam serta barisan tertinggi anggota kerajaan negeri dan parti DAP.

Perjalanan itu melalui Lebuh Farquhar, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Larut, Jalan Burma, Jalan Perak, Jalan Macalister, Jalan Residensi, Jalan Utama dan Jalan Scotland.

Perjalanan itu turut membuat beberapa ‘persinggahan’ untuk sesi fotografi termasuk di kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, tempat mendiang bertugas sebagai peguam; Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, lokasi beliau memulakan kerjaya politiknya; dan St Xavier’s Institution, sekolah lama Karpal Singh.

MPV yang membawa mayat peguam yang disegani itu juga berhenti seketika di hadapan bangunan pejabat mendiang di Green Hall.

Ketika upacara penghormatan terakhir di Dewan Sri Pinang bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi yang dihadiri lebih 10 ribu orang, anak-anak Karpal Singh – Jagdeep, Gobind, Ramkarpal, Mankarpal dan Sangeet Kaur kelihatan berdiri sayu berhampiran keranda ayah mereka.

Upacara pengebumian Karpal Singh diberi penghormatan negeri oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dan turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta barisan exco kerajaan negeri dan kepimpinan DAP.

Lim, ketika membacakan ucapannya pada upacara penghormatan negeri itu, berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri ini manzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Karpal, Gurmit Kaur serta anggota keluarga mendiang.

Beliau berkata rakyat kehilangan wira yang tidak gentar memperjuangkan nasib golongan tidak berkemampuan dan menegakkan keadilan.

“Keunikan dan karisma yang dimiliki beliau sukar dicari ganti dan kami akan menjadikannya sebagai inspirasi.

“Pemergian beliau walaupun sukar untuk diterima dan meninggalkan titik sedih dalam hati kita semua, tetapi jasa dan bakti beliau akan kekal terpahat di sanubari kita semua,” kata Lim.

Terdahulu, jasad Karpal yang ditempatkan di kediamannya di 144A, Jalan Utama di sini sejak Khamis, dibawa keluar dari rumahnya selepas upacara sembahyang agama Sikh secara tertutup oleh anggota keluarga pada kira-kira jam 7 pagi.

Antara kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya sejak Khamis ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri.

Karpal Singh digelar ‘Tiger of Jelutong’ kerana berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Jelutong selama lima penggal berturut-turut sejak 1978 sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum 1999.

Pada Pilihan Raya Umum 2004 Karpal Singh bangkit kembali apabila menang kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang disandangnya sehingga kini.

Dari segi kerjaya sebagai peguam, Karpal Singh yang mendapat pendidikan menengah di St. Xavier Institution, Pulau Pinang dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang University of Singapore pada 1968 banyak terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes liwat kedua Anwar.

Karpal Singh pernah terbabit dalam nahas jalan raya pada 2005 di Pulau Pinang yang menyebabkan beliau lumpuh dan terpaksa berkerusi roda.

Mendiang meninggalkan isteri, Gurmit Kaur, lima anak dan 11 cucu.

Dua anak lelakinya iaitu Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo mengikuti jejaknya sebagai peguam dan ahli politik. — Bernama