Anda di sini

Mukhriz harap AiU tidak ditutup

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berharap Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) di sini dapat memikirkan semula hasrat untuk menghentikan operasinya.

Mukhriz berkata beliau sebenarnya masih menunggu pengesahan daripada pihak yang terlibat dengan pengurusan universiti itu berhubung hasrat mahu menamatkan operasinya tetapi masih berharap ia tidak berlaku.

“ Saya difahamkan ada prosedur-prosedur tertentu ditetapkan Kementerian Pendidikan berkaitan institusi pengajian tinggi swasta. Saya tak dimaklumkan adakah semua prosedur dilakukan oleh universiti sebelum boleh tutup tetapi saya masih harap mereka tarik balik (hasrat) untuk tutup.

“Yang kita utamakan kepentingan pelajar, tenaga pengajar dan tenaga kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan Zon Utara (KEKKu) 2014 di sini semalam.

Ditanya sama ada kerajaan negeri berminat mengambil alih universiti itu jika pihak terlibat dengan universiti itu masih mahu menutup universiti berkenaan, Mukhriz berkata:” saya difahamkan model yang dipakai universiti itu adalah biasiswa penuh…rumit untuk diuruskan”.

Operasi universiti yang ditubuhkan oleh Yayasan Albukhary itu dilapor akan ditutup Jun ini.

AiU dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan susah dari seluruh dunia. — Bernama