Anda di sini

MAIPs terima sumbangan zakat daripada BIMB

Advertisement

KANGAR: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan sumbangan zakat perniagaannya bagi tahun 2013 sebanyak RM100,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini kelmarin.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs menerima sumbangan itu yang disampaikan Pengurus Besar BIMB Datuk Wan Ismail Wan Jusoh pada majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Al-A’la Behor Temak.

MAIPs dalam kenyataan media berkata BIMB turut menyumbangkan sebuah van jenazah bernilai lebih RM80,000 kepada MAIPs dalam majlis berasingan di pekarangan Dewan Kulliyah MAIPs di Kangar.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyertai program berbasikal ‘MAIPs Peduli’ siri ke-27 bagi tahun 2014 yang turut disertai Wan Ismail bersama pegawai kanan BIMB bermula dan berakhir di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Guar Syed Alwi.

Semasa program berbasikal itu BIMB turut menghulurkan sumbangan zakat kepada beberapa orang asnaf semasa melalui beberapa buah kampung termasuk Guar Syed Alwi, Padang Behor, Kampung Siam dan Sentua dengan setiap seorang menerima RM1,000.

Selain sumbangan BIMB, para asnaf itu turut menerima sumbangan keperluan dapur termasuk beras daripada MAIPs.

Turut menyertai program yang berakhir dengan solat Maghrib berjemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Abdul Malik Hussin. — Bernama

Advertisement